Rakyat Malaysia sudah kembali ke Starbucks – Vincent Tan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Starbucks Malaysia menyaksikan peningkatan dalam jualan dengan masalah boikot dihadapi cawangannya semakin berkurangan.

Pengasas Berjaya Group Tan Sri Vincent Tan menyifatkan perkembangan itu disebabkan pengguna lebih realistik dan sedar ketiadaan sebarang kaitan antara syarikat itu dengan konflik Israel-Palestin.

“Orang ramai menjadi lebih realistik. Kami tidak boleh berbuat apa-apa tentang apa yang Israel lakukan, atau apa yang berlaku di Gaza.

“Orang ramai sedar (Starbucks Malaysia) tidak mencederakan sesiapa. Jika anda memboikot Starbucks, apakah kesannya kepada Israel? Amerika Syarikat (AS) akan menghantar lebih banyak wang kepada mereka,” katanya selepas melancarkan Brahmarpanam Soup Kitchen lapor FMT pada Jumaat.

Melangkah ke hadapan, taikun itu berkata, Starbucks Malaysia akan menumpukan kepada usaha menyatukan perniagaannya dan mengalu-alukan pelanggan kembali ke premisnya.

Berjaya Food Bhd (BFood) menghadapi cabaran besar susulan gerakan boikot terhadap Starbucks Malaysia, tercetus akibat konflik Israel-Palestin yang memberi kesan kepada operasinya, memandangkan jenama itu pernah menyumbang 90% daripada pendapatan kumpulan.

Tiga bulan lalu, BFood menafikan terpaksa menutup secara kekal lebih 100 kedai Starbucks di Malaysia dan menyatakan ‘hanya beberapa’ telah menghentikan operasi manakala kebanyakannya hanya ditutup buat sementara waktu.

Pada Ogos 2023, syarikat itu dilaporkan menutup tiga cawangan Starbucks secara kekal dan menggantung sementara operasi di 25 kedai berprestasi rendah akibat boikot.

Starbucks adalah salah satu daripada beberapa rangkaian yang berpangkalan di AS, termasuk McDonald’s dan Burger King, yang telah diboikot rakyat Malaysia yang marah dengan sokongan negara itu terhadap pencerobohan Israel ke atas Gaza.

Sebelum ini, Vincent Tan telah merayu kepada rakyat Malaysia untuk berhenti memboikot Starbucks kerana ia hanya merugikan penduduk tempatan yang menjalankan syarikat itu, di mana 85 peratus daripada kakitangannya adalah Muslim.

Dalam pada itu, Vincent Tan berkata perbincangan sedang dijalankan untuk mencari rakan kongsi baharu bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, berikutan penarikan diri Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) daripada konsortium diketuai Berjaya Corporation Bhd, bulan lepas.

Beliau menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat lagi walaupun matlamatnya adalah untuk membawa masuk ‘rakan kongsi yang baik’ dalam konsortium terbabit.

Konsortium itu kini terdiri daripada Berjaya Rail Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Bhd, IJM Corp Bhd, Deutsche Bahn, Hitachi Rail dan Hyundai Rotem.

Dalam perkembangan berasingan, Vincent Tan berkata U Mobile Sdn Bhd tidak akan serta merta meneruskan potensi perkongsian dengan Maxis Bhd atau CelcomDigi Bhd untuk melancarkan rangkaian 5G kedua.

Bagaimanapun, dia tidak menutup sepenuhnya peluang untuk bekerjasama dengan dua syarikat gergasi telekomunikasi itu.

“(Tiada perbincangan) buat masa ini tetapi anda tidak akan pernah tahu,” kata pengerusi U Mobile itu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat