KUALA LUMPUR — Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu mendesak agar Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing segera meletakkan jawatan kerana telah berulang kali membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia yang beragama Islam serta mencemarkan imej kementerian.
Exco Armada Malaysia, Mohammad Shakir Ariff Shaifuddin menyifatkan kenyataan Tiong King Sing terhadap pengkritik video montaj sempena pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai ‘ekstremis’ merupakan kemuncak keangkuhan dan kebiadaban terhadap umat Islam.
“Menuduh mereka yang mempertahankan Islam sebagai ekstremis adalah retorik Islamofobia yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Lebih buruk lagi, respon beliau yang mengendalikan kritikan umum dengan menuduh pihak yang membangkitkan isu ini sebagai ekstremis adalah amat melampau.
“Kecuaian Menteri melalui kenyataan bersifat provokatif dan tidak menjaga sensitiviti umat Islam seperti ini akan hanya menunjukkan kegagalan beliau dalam memimpin kementerian dengan adil, peka dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata ini bukan kali pertama menteri berkenaan memperkecilkan peranan Islam dalam masyarakat Malaysia.
“Rekod beliau telah menampakkan pelbagai kenyataan yang mencerminkan kegagalan memahami kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, sekaligus mengguris perasaan umat Islam di negara ini.
“Armada ingin mengingatkan menteri berkenaan bahawa mempersoalkan kandungan video montaj itu bukanlah tindakan ekstrem, tetapi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia yang prihatin terhadap representasi budaya dan warisan negara,” katanya.
Selain itu jelasnya, alasan bahawa elemen masjid akan dimasukkan dalam video montaj lain yang lebih terperinci adalah dangkal, tidak masuk akal malah boleh disifatkan sebagai penghinaan terhadap daya fikir umat Islam di Malaysia.
“Armada mendesak Kementerian Pelancongan segera menarik balik video montaj tersebut, memohon maaf secara terbuka dan menghasilkan video promosi baharu yang mencerminkan identiti sebenar Malaysia dengan memaparkan keindahan masjid-masjid yang menjadi lambang kebudayaan Islam.
“Armada menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama umat Islam, untuk tidak berkompromi dengan cubaan meremehkan kepentingan Islam di negara ini.
“Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang berdiri teguh atas prinsip Islam sebagai agama rasmi, dan mana-mana pihak yang memperlekehkan kedudukan ini harus diberi pengajaran,” katanya.