‘Jin Saka’ separuh jalan

- Advertisement -

NAMA pelakon Amerul Affendi, 35, pastinya tidak asing pada kalangan penggiat seni tanah air. Apatah lagi, kemantapan mutu lakonannya melayakkan dia menang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019.

Pun begitu, perihal industri yang sebelum ini kecoh dengan pengaruh jumlah pengikut ramai di media sosial membuatkan bakat Amerul seakan-akan terpinggir kerana kurang peluang untuk muncul di layar televisyen.

Namun, kecintaan Amerul pada lakonan sama sekali tidak pernah pudar biarpun kini karier seni baginya sekadar hobi dan bukan lagi pilihan kerja sepenuh masa.

Apa yang pasti, Amerul kini tampil dengan drama terbaharu, Jangan Ganggu Jodohku yang disiarkan Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam mulai 29 November lalu.

Melakonkan watak Abu iaitu ‘jin pendamping’ atau saka milik keluarga Aliza (lakonan Shaza Bae), drama ini bergenre seram komedi yang menghiburkan dengan jalan cerita mantap.

Mengulas watak Abu itu, Amerul berkata, ia agak mencabar kerana dia perlu tampil dalam pelbagai situasi yang mengaitkan Aliza. Malah, karakter itu diakui perlu dibawa sebaik mungkin supaya tidak berlebihan dan mengundang sensitiviti.

“Saya sudah sedaya upaya melakonkan watak Abu sebaik mungkin dan agak menghiburkan juga. Ini kerana, ia karakter ‘jin saka’ yang ada perasaan sayang, sedih, lucu dan sanggup buat apa saja demi ‘tuannya’, Aliza.

“Apa pun, pembabitan saya dalam drama ini hanya ‘separuh jalan’ apabila tidak dapat menghabiskannya kerana masalah kesihatan. Saya mengalami kesan sampingan selepas mengambil dos pertama vaksin Covid-19,” katanya.

 

AMERUL kini jadikan lakonan hobi.
AMERUL kini jadikan lakonan hobi.

 

Amerul yang kini bergelar penternak dan peladang berkata, dia mengalami gejala teruk seperti naik ruam kulit di seluruh badan, diserang penyakit lelah hingga kini termasuk alergik pada makanan laut yang pernah dialaminya ketika kecil dulu.

Memaklumkan keadaan dirinya kini masih dalam pemantauan pihak hospital, Amerul menjelaskan dia juga berasa ralat kerana tidak dapat menghabiskan penggambaran drama Jangan Ganggu Jodohku itu.

“Memang saya akui berasa ralat kerana tidak dapat habiskan kerja. Apa pun, ini ujian buat saya dan yakin ada hikmah di sebaliknya. Malah, saya pun gembira watak Abu itu diambil alih oleh rakan, Aloy Paradoks.

“Saya tahu kemampuan lakonan Aloy yang mana pasti dia juga tidak akan menghampakan penonton. Pada saya, ada kelainan untuk watak Abu itu antara kami berdua dengan pembawakan yang berbeza,” jelasnya.

Amerul berkata, dia berharap drama Jangan Ganggu Jodohku sebanyak 24 episod itu diterima baik penonton. Katanya, setiap drama dihasilkan ada jalan cerita tersendiri yang menarik termasuk mesej dan pengajaran yang dibawa dalam sesuatu karya.

Justeru, pembabitan Amerul dalam drama berkenaan hanya 10 episod dan baki selebihnya disiapkan sepenuhnya oleh Aloy. Malah, bagi mewarnai kisah dipaparkan Aloy juga dikatakan banyak membuat dialog ‘ad-lib’ spontan dan bersesuaian untuk dipertontonkan.

Selain Amerul, Aloy dan Shaza Bae, pelakon lain turut membintangi drama Jangan Ganggu Jodohku ini ialah Yusuf Bahrin, Salina Saibi, Shah Iskandar, Norreen Iman, Fazlina Ahmad Daud, Ku Faridah dan ramai lagi.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat