Memoir Bangkit Semula bawa aspirasi pendidikan Perdana Menteri di Yayasan Anda Akademik

SHAH ALAM — Suasana penuh nostalgia dan emosi menyelubungi Dewan Universiti Selangor (UNISEL) kelmarin apabila lebih 40 penulis, terdiri daripada bekas guru, pelajar dan pentadbir Yayasan Anda Akademik (YAA), berhimpun sempena pra-peluncuran buku “Bangkit Semula: Memoir Warga Yayasan Anda Akademik”.

Buku setebal hampir 400 halaman itu diterbitkan oleh Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik (PAYAAM), Yayasan Penataran Ilmu (YPI) dan Unisel Press. Naskhah tersebut menghimpunkan kisah perjuangan, pengalaman dan idealisme YAA sebuah institusi pendidikan alternatif yang membuka ruang kedua kepada ribuan pelajar miskin dan tercicir sejak tahun 1970-an.

Yayasan Anda Akademik (YAA) ialah sebuah institusi pendidikan alternatif yang ditubuhkan pada awal tahun 1971, digerakkan oleh golongan mahasiswa dan aktivis pendidikan ketika itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu merupakan pemimpin mahasiswa, adalah antara pengasas bersama rakan-rakan seperjuangan daripada universiti seperti Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pra-peluncuran memoir ini disempurnakan oleh Presiden PAYAAM, Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim di hadapan puluhan tokoh pendidikan, akademik dan aktivis masyarakat madani.

Buku itu turut memuatkan kata alu-aluan khas daripada Perdana Menteri. Dalam kata alu-aluan itu Perdana Menteri menegaskan bahawa YAA ialah madrasah ilmu yang menanamkan idealisme, kesukarelawanan serta pembentukan insan berakhlak.

“Semangat ‘Insan Akademis yang Bertakwa’ harus terus hidup dalam sanubari generasi baharu,” tulisnya.

Tampil dengan 40 suara dan satu perjuangan

Editor buku, Prof. Dr. Md Sidin Ahmad Ishak berkata, projek ini pada awalnya dirancang sebagai buku sejarah rasmi YAA namun ditukar kepada bentuk memoir agar lebih hidup, jujur dan menggambarkan suara hati warga institusi itu sendiri.

“Kalau menulis sejarah, ia mungkin kering. Tetapi memoir membawa unsur emosi, pengalaman dan kejujuran. Setiap kisah menjadi serpihan kecil perjuangan YAA,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Proses pengumpulan penulisan mengambil masa hampir setahun setengah, melibatkan temubual, proses transkripsi dan penyuntingan berulang kali bagi memastikan ketepatan fakta dan kesahihan setiap catatan.

YAA – simbol ruang kedua untuk anak bangsa

Ditubuhkan pada 1971, YAA muncul dalam suasana kesedaran sosial selepas kemerdekaan. Ia menyediakan peluang pendidikan menengah dan prauniversiti kepada pelajar tercicir, beroperasi di beberapa lokasi antaranya Kampung Baru dan Bangunan UDA, Jalan Pantai Baharu.

Walaupun YAA menamatkan operasi pada 2002, legasinya masih diteruskan melalui para alumni yang kini berkhidmat dalam bidang kehakiman, pendidikan, pentadbiran awam, politik, media dan masyarakat madani.

“Ramai yang datang sebagai pelajar gagal, tetapi keluar sebagai insan berjaya. YAA membentuk manusia, bukan hanya melahirkan graduan,” kata bekas Pengetua YAA, Dol Malek Kusnin dalam memoirnya.

PAYAAM turut merancang menerbitkan dokumentari dan arkib digital agar sejarah YAA dapat diakses generasi muda.

“Kami mahu kisah ini terus hidup, bukan sekadar dalam bentuk buku,” kata Prof. Md Sidin, yang menyatakan beberapa bab mungkin diadaptasi dalam bentuk siri dokumentari mini.

Maklumat Buku

Judul: Bangkit Semula: Memoir Warga Yayasan Anda Akademik
Editor: Prof. Dr. Md Sidin Ahmad Ishak
Penerbit: PAYAAM, Yayasan Penataran Ilmu & Unisel Press
Tahun Terbit: 2025 | 400 halaman
ISBN: 978-983-9851-25-0 | Harga: RM80
Pertanyaan dan pembelian:
* PAYAAM – Mohd Dzaireen Abu Zahar (016-2572747) / Hjh Zaiton Selamat (019-3560517)
* Unisel Press – Hafiz Abd. Rahim (012-6246742)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat