Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) siap melaksanakan projek tukun tiruan bagi pemuliharaan sumber perikanan negara.
Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain, berkata projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan untuk memastikan kelestarian ekosistem marin dan sumber perikanan negara.
Beliau berkata, pada 2024, sejumlah RM2.4 juta telah diperuntukkan bagi pembinaan 74 unit tukun tiruan yang dilabuhkan di beberapa lokasi strategik di seluruh negara mengikut negeri iaitu Kedah (14), Perak (12), Melaka (12), Pahang (11), Terengganu (13) dan Kelantan (12 ).
“Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Sains Marin Asia Tenggara (ISMAT), pada 2020, sebanyak 129 kg. (kilogram) sehingga 6,047 kg. biomass ikan direkodkan dan satu tapak tukun tiruan mampu menghasilkan nilai sumber tertinggi ikan komersil berjumlah RM84,759.60
“Secara keseluruhan, nilai ekonomi daripada 74 tukun tiruan dianggarkan mencecah RM6.2 juta.
“Ini menunjukkan potensi perikanan melalui pelaksanaan projek tukun tiruan dalam menyokong keterjaminan makanan negara, ”katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
“DOF berharap dengan pelaksanaan projek tukun tiruan ini, ia bakal memberikan impak positif terhadap pemuliharaan sumber perikanan dan pembangunan sosio ekonomi nelayan setempat.
“Tukun tiruan ini bukan sahaja berfungsi sebagai habitat kepada pelbagai spesies marin tetapi juga sebagai kawasan pembiakan dan pembesaran ikan, seterusnya menyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan,”katanya lagi.
Ujarnya, DOF akan terus komited untuk terus melabuhkan, memantau dan menilai keberkesanan tukun tiruan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dalam usaha pemuliharaan sumber perikanan negara. – SUARA.TV