Jalan tikus, hutan tebal cabaran besar tangani pendatang haram – ESSCOM

- Advertisement -

KALABAKAN: Banyaknya jalan tikus dan kedudukan muka bumi Tawau serta Kalabakan yang berhutan tebal dan bersempadan dengan Indonesia, memberi cabaran besar kepada pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk menangani isu pendatang haram di Sabah.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman, berkata kawasan sempadan Kampung Kandoangan, Kalimantan Utara, Indonesia, dan Kilometer 11, Kalabakan, di Malaysia menjadi antara jalan tikus yang aktif digunakan tekong darat untuk membawa masuk pendatang haram warga Indonesia ke Malaysia, tidak kira siang atau malam.

“Taktik pendatang haram itu, kebiasaannya bergerak dalam kelompok 10 hingga 15 orang dan kemudian akan ‘disambut’ ejen menggunakan pacuan empat roda di sempadan Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika tinjauan ESSCOM, di sini, baru-baru ini.

Wakil Bernama juga berpeluang bersama pasukan keselamatan itu meninjau tempat transit (staging point) yang dikesan digunakan pendatang haram untuk menyusup masuk ke Malaysia melalui Sabah.

Ahmad Fuad berkata, dengan bentuk muka bumi dan geografi persekitaran laluan dilitupi hutan tebal, ia umpama ‘perisai’ bagi pendatang haram bersembunyi hingga berhari-hari lamanya daripada dihidu pasukan keselamatan yang membuat rondaan di kawasan itu.

Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) membabitkan 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer (km) dari Kudat hingga ke Tawau.

Daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.

Ahmad Fuad berkata, pihak berkuasa mengesan ada banyak laluan tikus atau ‘staging point’ sepanjang 200km dari Tawau hingga Kalabakan.

Beliau berkata, sejak April hingga Oktober lalu, seramai 1,995 pendatang haram ditahan dan diusir balik ke negara asal kerana cuba menyusup masuk melalui perairan Tawau.

Katanya, kedatangan pendatang haram melalui jalan tikus itu dikhuatiri menjadi punca penularan COVID-19 di Sabah yang merekodkan 524 kes baharu daripada keseluruhan 852 jangkitan dilaporkan seluruh negara, semalam.

Sabah masih menjadi negeri mencatatkan bilangan kes COVID-19 yang tertinggi, iaitu sejumlah 20,422 daripada jumlah kumulatif 40,209 kes di seluruh negara.

Menjelaskan lanjut mengenai modus operandi berkenaan, Ahmad Fuad berkata, pendatang haram itu akan dibawa keluar melalui jalan ladang kelapa sawit yang biasanya sukar dilalui kenderaan biasa, hingga ke jalan utama di Kalabakan sebelum meneruskan perjalanan sama ada ke Keningau, Tawau, atau kawasan lain di pantai timur Sabah.

Beliau berkata, ada lebih lima ‘staging point’ dikesan antara jarak lima hingga 10km dari KM11-Kandoangan yang dijadikan jalan tikus bagi aktiviti penyeludupan pendatang haram, antaranya Jeti Kretam, Ladang Kretam, di sini.

“Untuk tiba di jeti ini dari Nunukan, Indonesia, ia hanya memakan masa 40 hingga 50 minit menggunakan bot berkuasa 200hp dengan menyusuri Sungai Serudong dan Sungai Silimpopon (Tawau).

“Laluan bercabang Sungai Serudong menjadikan kegiatan jenayah rentas sempadan di Kalabakan ini lebih sukar dikesan.

“Ini kerana mereka boleh masuk dan bersembunyi di laluan lain,” katanya sambil menambah tekong didapati biasanya mengambil upah antara RM200 hingga RM800 untuk membawa seorang pendatang haram ke Sabah.

“Walaupun rondaan kerap dilakukan tetapi ada masanya, pendatang ini dapat meloloskan diri dengan berlindung di ladang.

“Di Kalabakan sahaja, ada lima ladang besar dengan keluasan setiap ladang melebihi 20,000 hektar,” katanya.

Ahmad Fuad berkata, pasukan keselamatan yang membuat pemantauan, sedaya upaya memastikan jalan tikus atau ‘staging point’ dikenal pasti itu tidak dibolosi pendatang haram, sekali gus mengekang penularan COVID-19 di Sabah.

“Kita ada Pos Kawalan Keselamatan Burs Point yang menempatkan Pasukan Gerakan Am dan Pos Serudong dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertanggungjawab memantau serta menjaga keselamatan sempadan, sekali gus menggagalkan banyak cubaan menyusup masuk ke Sabah,” katanya.

Ahmad Fuad menjelaskan, ESSCOM turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat berhubung jenayah rentas sempadan, termasuk aktiviti kemasukan pendatang haram.

Beliau juga menasihati pengurus ladang kelapa sawit di kawasan itu agar melaporkan kepada pasukan keselamatan jika mengetahui kemasukan pendatang haram atau lokasi persembunyian mereka di ladang.

“Kita sudah memberi amaran dan nasihat kepada pihak ladang serta orang awam supaya tidak bersekongkol dengan tekong yang membawa masuk pendatang haram ke negara ini.

“Jika didapati mereka turut melindungi pendatang haram, tindakan undang-undang mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) akan dikenakan,” katanya. – BERNAMA

Gambar: Sumber Internet

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat