COVID-19: MMA Nasihat Thaipusam Tidak Disambut Besar-Besaran Tahun Hadapan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menasihatkan agar sambutan Thaipusam bagi tahun 2021 tidak diadakan secara besar-besaran seperti yang berlangsung saban tahun.

Presiden MMA Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata mungkin adalah mustahil untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dengan kehadiran ramai penganut Hindu dan orang ramai yang akan membanjiri kuil-kuil pada acara sambutan perayaan itu.

Tahun hadapan, Thaipusam jatuh pada 28 Jan tetapi penganut Hindu akan membuat persiapan untuk membayar nazar mereka seawal tiga bulan sebelum tarikh berkenaan.

“Pastinya lebih satu juta orang dijangka akan menghadiri sambutan Thaipusam (di kuil Batu Caves), dan kawalan ke atas pengunjung seramai itu nampak mustahil dan ini boleh mengancam kesihatan dan keselamatan mereka terutamanya penganut Hindu yang hadir,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pematuhan SOP seperti pemeriksaan suhu badan, catatan kehadiran dan penjarakan fizikal mungkin amat sukar untuk dipatuhi kerana jumlah pengunjung yang ramai.

Dr Subramaniam menggesa jawatankuasa pengurusan kuil dan kerajaan supaya membuat pengumuman awal sebelum penganut Hindu memulakan persiapan membayar nazar mereka seperti membuat kavadi dan sebagainya, kira-kira tiga bulan sebelum perayaan itu.

Di Malaysia, Thaipusam disambut secara besar-besaran sekurang-kurangnya di empat tempat, di Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves, Selangor; Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di George Town, Pulau Pinang; Kuil Arul Subramaniar di Ipoh, Perak dan Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Presiden Hindu Sangam Malaysia Datuk R S Mohan Shan berkata sambutan Thaipusam tahun hadapan bergantung kepada situasi pandemik COVID-19 dan keputusan kerajaan.
Beliau meminta penganut Hindu agar menghormati keputusan sekiranya kerajaan tidak membenarkan sambutan Thaipusam diadakan secara besar-besaran.

“Ia melibatkan soal kesihatan dan nyawa, jadi kita perlu membuat satu keputusan rasional,” katanya.

Mohan Shan berkata penganut Hindu masih boleh bersembahyang di rumah masing-masing dan menunaikan nazar pada tahun-tahun akan datang.

Malaysia menyaksikan kenaikan mendadak kes positif COVID-19 dengan peningkatan tiga digit kes baharu dan jumlah kes mencecah 14,368 setakat tengah hari tadi.

– BERNAMA/Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat