Tun M luah rasa kecewa terhadap pengkhianatan Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) didesak mengembalikan kerajaan diperintah kepada Pakatan Harapan (PH) seperti pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14.

Tuntutan ini dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usul undi tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diabaikan di sidang Dewan Rakyat.

Dalam entri di blognya, Dr Mahathir memperincikan usul undi tidak percaya terhadap Ahli Parlimen Pagoh yang digambarkan sebagai mengkhianati perjuangan Bersatu dan juga PH.

“ Saya telah bercadang untuk membawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat. Tetapi Kerajaan menentukan usul ini tidak akan dikemukakan dan dibahas dengan dua kali meletak usul ini di akhir sidang dewan. Usul Kerajaan didahulukan sehingga tidak ada masa untuk usul saya dibahas. Dengan cara ini sampai bila-bila pun usul saya tidak akan dibincang dalam dewan.

“ Oleh kerana saya tidak mungkin kemukakan usul saya dalam Parlimen maka saya terpaksa siar usul ini dalam blog saya untuk tatapan orang ramai,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu memberitahu, Muhyiddin bersamanya dan beberapa orang lain telah menubuhkan sebuah parti politik iaitu Bersatu dengan tujuan khusus untuk menjatuh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pendirian Tan Sri (Muhyiddin) amat tegas dalam perjuangan untuk menjatuhkan Najib. Oleh kerana rakyat juga ingin melihat Najib dan Barisan Nasional (BN) dijatuhkan, pandangan Ahli Parlimen Pagoh diterima baik dan sokongan diberi kepada Bersatu dan PH, sehingga menang PRU 14.

“ Najib berpakat dengan PAS dan telah serang PH kerana kononnya kerajaan PH ini dikuasai oleh DAP yang akan hancurkan orang Melayu. Untuk elak dari kehancuran ini, sebuah kerajaan Melayu Islam perlu ambil alih kerajaan,” jelasnya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, dakwaan bahawa DAP boleh hancurkan orang Melayu tidak masuk akal. Orang Melayu tidak mudah dihancur. Percubaan British merampas negeri-negeri Melayu melalui Malayan Union digagalkan oleh orang Melayu.

Menurutnya, demikian juga penyangak mata wang yang cuba jatuhkan nilai mata wang Malaysia supaya kita terpaksa serah pengurusan ekonomi kita kepada Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF) juga digagalkan oleh pemerintahan pimpinan Melayu bahkan, Parti Komunis Malaya (PKM) yang cuba merampas kuasa secara bersenjata kerajaan pimpinan Melayu, juga dikalahkan.

“Jika DAP cuba hancurkan orang Melayu, Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri pada masa itu boleh batalkan pendaftaran parti itu dan haramkan aktiviti mereka. Tetapi beliau kononnya percaya DAP boleh hancurkan orang Melayu. Caranya untuk elak kehancuran ialah dengan menjatuhkan PH dan membentuk kerajaan campuran dengan UMNO dan PAS.

“Saya tidak dapat terima cadangan ini kerana Najib dan UMNO yang telah merosakkan negara akan kembali jadi sebahagian daripada Kerajaan. Ini mengkhianati rakyat yang mengundi kita.

“Saya telah minta Bersatu tangguhkan perancangan ini tetapiMuhyiddin sudah rapatkan hubungan Bersatu dengan UMNO dan PAS di Sheraton Hotel untuk meraya gabungan antara mereka.

“ Sesungguhnya cara Muhyiddin menjadi Perdana Menteri amatlah memalukan. Ia tidak pernah berlaku sehingga kini di Malaysia. Beliau sendiri mengaku bahawa kerajaan PN P ini bukanlah kerajaan pilihan rakyat,” katanya.

Jelasnya, beliau sedia menerima ahli UMNO yang sudah keluar dari UMNO untuk menjadi ahli Bersatu dengan syarat.

“Tetapi kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, UMNO hanya akan sertai gabungan en-bloc sebagai parti dan bukan sebagai ahli.

“Saya bertanya kepada Muhyiddin sama ada beliau sanggup bekerjasama dengan parti UMNO yang kita musuhi dahulu kerana mencuri dan menipu dan mengamal rasuah? Katanya beliau sanggup.

“Saya nyatakan saya tidak sanggup. Jika Muhyiddin sanggup, itu pilihan beliau. Dengan itu pecah berkecailah Bersatu.

“Saya sedih kerana rakan seperjuangan sanggup pilih musuh, iaitu Najib, dan menolak saya, rakan dalam parti yang kita tubuh bersama,” luah Dr Mahathir lagi.

Menurutnya, cara Muhyiddin mengejar jawatan Perdana Menteri ialah dengan menipu rakyat dengan janji memperjuang cita-cita mereka.

“ Apabila Muhyiddin jadi Perdana Menteri maka kuasa disalah guna untuk mendapat sokongan dengan menawar jawatan-jawatan yang bergaji tinggi kepada sesiapa yang ikrar menyokongnya. Jika jawatan sudah tidak ada lagi, maka dicipta jawatan baru bertaraf Menteri kepada penyokong.

“ Mereka yang tidak sanggup sokong, dilucut keahlian dan jawatan sehingga diperingkat ketua cawangan pun. Perbuatan ini melanggar undang-undang tubuh parti kerana selain daripada tidak sokong Muhyiddin mereka tidak langgar apa-apa peraturan parti. Bahkan, ugutan dibuat kepada sesiapa yang membantah,” tambahnya.

Beliau memberitahu, PH telah berusaha membersihkan pengurusan syarikat-syarikat kerajaan daripada diisi dengan ahli politik yang tidak berpengalaman dan pengganti yang dipilih terdiri dari tokoh profesional yang berpengalaman yang bukan ahli politik dan bukan daripada PH.

“ Muhyiddin telah buang orang profesional ini dan lantik orang politik yang menyokongnya. Maka situasi yang terdapat di zaman Najib pun kembali semula. Jika sogokan tidak diterima maka tekanan boleh dilakukan dengan dipanggil untuk disoal siasat oleh jabatan kerajaan.

“ Sesungguhnya orang dari parti bukan kerajaan ditekan dengan pelbagai cara supaya jika diadakan PRU mereka ini akan takut dan terhalang dari bertanding,” katanya.

Tegasnya, cara demokrasi bukanlah cara disukai oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin.

“Ternampak jelas yang Muhyiddin cuba menentukan supaya tiada siapa akan lawan beliau dalam PRU.

“Tetapi Muhyiddin sekarang cuba menghalang bekas ahli Bersatu daripada dicalon dengan melucutkan jawatan dan keahlian mereka dalam parti. Untuk bertanding ahli Bersatu perlu dapat watikah dari parti. Sudah tentu watikah tidak akan diberi. Ahli Bersatu yang menubuhkan Bersatu sekarang tidak berhak bertanding sebagai ahli Bersatu,” ujarnya.

Dr Mahathir berkata, sesungguhnya pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tanpa PRU mencabul sistem dan aturan peraturan dalam Perlembagaan Negara.

Katanya, cara ini akan menghilangkan kepercayaan rakyat bahawa melalui PRU rakyat dapat bentuk Kerajaan pilihan mereka.

“Apa yang jelas ialah suara rakyat tidak mempunyai nilai di Malaysia lagi. Kerana melalui pintu belakang parti yang ditolak oleh rakyat boleh jadi kerajaan. Rakyat tertipu dengan cara ini.

“ Apa gunanya PRU jika yang ditolak oleh rakyat boleh mendiri kerajaan, dan yang dipilih oleh mereka dijatuhkan dengan penipuan. Inilah sebab utama yang saya kemukakan usul tidak percaya kepada Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri kerana rebutan jawatan oleh beliau merampas hak rakyat,” katanya.

Beliau menambah, seperti pengakuan Muhyiddin sebelum ini, iaitu kerajaan ini bukanlah kerajaan pilihan rakyat.

Hal ini katanya kerana, ia adalah hasil daripada penipuan terhadap rakyat yang bersusah payah datang dari jauh dan dekat untuk mengundi.

“Kita tidak perlu undang-undang untuk menghalang penipuan seperti ini. Kita harap orang politik di Malaysia mempunyai moral yang tinggi dan menolak rasuah dan penipuan.

“ Jika tidak, maka akan hancurlah negara kerana akan diperintah oleh penyangak dan penyamun.

“ Saya mohon mencadang Kerajaan Perikatan Nasional ini menyerah balik kuasa kepada yang hak,” kata Dr Mahathir.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat