PSIS turun padang sertai KAMBEST TVET, bantu keluarga B40 & OKU

Oleh Zihan Zari

TAIPING – Berbekalkan pengetahuan dan kemahiran yang ada, seramai 16 pelajar dan 12 pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) turun padang menyertai Projek Kampung Angkat MADANI (KAMBEST TVET).

Melalui KAMBEST TVET, mereka manfaatkan ilmu yang ada dengan melaksanakan kerja-kerja membaik pulih 21 buah rumah kediaman milik penduduk daripada golongan B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Batu 8, Bendang Siam, Changkat Jering, dekat sini baru-baru ini.

PSIS dalam kenyataannya berkata, KAMBEST TVET digerakkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

KAMBEST TVET merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa komuniti luar bandar menerusi penerapan kemahiran Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selari dengan aspirasi konsep Malaysia MADANI.

“Antara objektif utamanya, menaik taraf dan melestarikan landskap kampung, membina gazebo bagi kegunaan rekreasi, melaksanakan pendawaian elektrik fasa tunggal untuk rumah kediaman, serta menjalankan kerja-kerja asas pembaikan rumah penduduk kampung tersebut.

“KAMBEST TVET berlangsung dari 5 hingga 20 Ogos lalu itu, melibatkan seramai 162 orang pensyarah dan pelajar daripada 10 buah institusi di bawah rangkaian Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) dari seluruh negara, telah memberikan sumbangan tenaga, kemahiran dan ilmu kepada penduduk setempat,”kata kenyataan itu.

Menurutnya, skop kerja merangkumi penggantian kotak agihan elektrik (DB Box), pendawaian semula wayar elektrik, pemasangan lampu solar di bahagian luar rumah, pembaikan bumbung bocor, penggantian lantai dan tiang kayu, serta baik pulih tingkap serta pintu yang usang.

Pelajar dan pensyarah dari PSIS telah mengambil tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja tersebut di rumah-rumah penduduk yang terlibat.

Menurutnya lagi, projek ini diketuai oleh Kolej Komuniti Bagan Serai dengan penglibatan sembilan lagi POLYCC, iaitu PSIS, Politeknik Nilai (PNS), Politeknik Jeli (PJK), Politeknik Bagan Datuk (PBD), Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB), Kolej Komuniti Seberang Jaya (KKSJ), Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT), Kolej Komuniti Selandar (KKSL), dan Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL).

Majlis Perasmian KAMBEST TVET telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JPPKK, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.

Hadir sama, Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, Dr. Mohd Daud Isa; Pengarah Kolej Komuniti Bagan Serai, Mohd Faizul Ridzuan; Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid; wakil Pejabat Pembangunan Negeri Perak, Pengarah-Pengarah Bahagian, dan Pengarah-Pengarah POLYCC.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat