‘Tiada niat lawan karya Syamsul’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mengalir air mata sutradara muda, Syafiq Yusof pada majlis pelancaran filem Abang Long Fadil 3 di The Grounds Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia sekali gus menggambarkan apa yang dilalui anak bongsu produser tersohor, Datuk Yusof Haslam dalam menyelesaikan naskhah trilogi yang menelan belanja RM6 juta itu bukanlah kerja mudah.

Apatah lagi, keupayaannya sering dibandingkan dengan abang yang juga pengarah hebat, Syamsul Yusof.

Syafiq berkata, orang luar hanya nampak apa yang berlaku di hadapan mata, namun, tidak mengetahui cabaran dilalui.

“Saya tidak boleh mengalah. Filem Abang Long Fadil 3 menjalani penggambaran pada 2019 akhirnya berjaya disiapkan biarpun mengambil masa agak lama.

“Proses suntingan filem Abang Long Fadil 3 dilakukan di rumah ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, sekitar dua tahun lalu.

“Saya akui proses suntingan agak perlahan memandangkan saya terpaksa melakukan semua tugasan seorang diri di rumah tanpa bantuan tenaga teknikal lain,” katanya kepada BH Online.

Katanya, dia memasuki set penggambaran filem Polis Evo 3 sebaik penggambaran Abang Long Fadil 3 selesai, tiga tahun lalu.

“Namun, pandemik COVID-19 mula menyerang seluruh dunia ketika melaksanakan proses suntingan.

“Jadi, semua kerja perlu diberhentikan dan saya terpaksa melakukan proses filem di rumah. Selalunya, kita akan ke tempat berbeza untuk proses memasukkan muzik, kesan khas dan gred warna, tetapi kali ini, saya terpaksa buat sendiri.

“Boleh dikatakan, saya peram filem selama dua tahun disebabkan proses suntingan. Sehinggakan, saya terfikir adakah filem Abang Long Fadil 3 tayang atau sebaliknya,” katanya.

 

Syafiq bersama barisan pelakon pada majlis pelancaran filem Abang Long Fadil 3 di Kuala Lumpur.
Syafiq bersama barisan pelakon pada majlis pelancaran filem Abang Long Fadil 3 di Kuala Lumpur.

 

Syafiq bersyukur, akhirnya filem Abang Long Fadil 3 bakal menemui penonton di pawagam di Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura pada 8 September ini.

“Awal tahun ini, saya mula lihat kerajaan tidak lagi melaksanakan sekatan, apatah, banyak filem-filem mula memasuki pawagam dan menerima kutipan baik seperti Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

“Jadi, saya percaya 8 September adalah tarikh yang sesuai untuk tayangan filem Abang Long Fadil 3,” katanya.

Mengulas tekanan dilalui apabila naskhah sentuhannya dibandingkan dengan abangnya, Syafiq berkata, dia sentiasa terbuka dengan komen kerana membantu memperbaiki kelemahan pada masa hadapan.

Namun, kata Syafiq, dia tidak pernah menyimpan perasaan mahu berlumba-lumba dengan bapa mahupun abangnya.

“Saya tidak pernah berfikir menandingi papa dan abang. Mereka adalah sifu saya.

“Saya banyak belajar dengan mereka dan ia boleh dilihat menerusi filem-filem saya, acuannya tetap sama dengan mereka.

“Jadi, tiada guna ada perasaan hendak berlawan atau seumpamanya. Lagi pun, semua filem sentuhan papa dan abang laku serta mencapai kutipan pecah panggung, tiada satu pun kecundang.

“Jujurnya, saya sendiri tidak tahu apa magis digunakan papa dan abang. Seperti filem saya, ada laku dan sebaliknya.

“Namun, siapa tidak mahu berjaya? Saya bertuah beroleh sokongan daripada papa dan mama yang menjadi penguat semangat untuk terus berusaha serta tidak putus asa,” katanya.

Dengan semangat dan sokongan tanpa putus daripada ibu bapanya, Syafiq berkata, itulah yang menjadi kekuatan untuk terus berkarya hingga hari ini.

“Bohonglah, jika saya tak pernah rasa penat buat filem. Jujurnya, saya tiada bakat luar biasa seperti abang.

“Nak menghasilkan filem bukan mudah dan perbelanjaannya besar. Jadi, saya tidak mahu mengecewakan orang sekeliling sekiranya filem tidak menjadi.

“Bila filem tak menjadi, keadaan lebih sukar, apatah lagi, penerbit adalah bapa sendiri.

“Saya akui mengejar sasaran amat memenatkan. Sebab itu juga saya mahu buat benda lain, tetapi papa tidak berhenti memberikan sokongan.

“Sokongan inilah membuatkan saya terus berkarya hingga hari ini,” katanya yang pernah menghasilkan filem S.A.M, Misteri Delaila, KL Special Force dan Penunggang Agama.

 

Gandingan Zizan Razak dan Johan yang dikenali sebagai Jozan antara yang bakal menarik penonton ke pawagam menonton filem Abang Long Fadil 3.
Gandingan Zizan Razak dan Johan yang dikenali sebagai Jozan antara yang bakal menarik penonton ke pawagam menonton filem Abang Long Fadil 3.

 

Mengulas kekuatan dan kelainan filem Abang Long Fadil 3, Syafiq berkata, gandingan Zizan Razak dan Johan yang dikenali sebagai Jozan antara yang bakal menarik penonton ke pawagam.

“Ketika menghasilkan filem, saya fikir siapa yang boleh diketengahkan. Ini disebabkan filem Abang Long Fadil 2 menampilkan Wak Doyok dan A Galak.

“Jadi, saya dan papa terfikir untuk menampilkan Johan sebagai watak baharu kali ini.

“Papa berjaya memujuk Johan, tetapi jujurnya, ia mengambil masa. Ini kerana Johan terikat dengan tugasan sebagai penyampai radio.

“Johan pula tidak boleh mengambil cuti, penggambaran perlu mengikut jadual sebagai penyampai radio yang bertugas pada sebelah pagi,” katanya.

Tambah Syafiq, dia seronok berpeluang bekerjasama dengan dua pelawak popular yang memiliki keistimewaan dengan keletah spontan dan menghiburkan.

“Zizan seperti abang saya disebabkan kami sudah beberapa kali bekerjasama. Zizan memang jenis tidak henti membuat lawak.

“Bila adanya Johan, lebih sukar nak ‘shoot’ kerana kami asyik ketawa. Namun, saya seronok bekerja dengan dua pelawak berbakat besar ini,” katanya.

Abang Long Fadil 3 menyaksikan Fadil (Zizan) kembali dengan misi baharu lebih berprofil tinggi. Fadil perlu menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han, pada masa sama, diburu King Cobra atas dendam dahulu.

Selain Zizan dan Johan, filem bergenre aksi komedi itu turut menampilkan pelakon lain seperti Elizabeth Tan, Maya Karin, Datuk AC Mizal, Shuib Sepahtu, Kazar Saisi, Ozlyn Wati, Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman dan Siraj.

Filem Abang Long Fadil 3 akan mengadakan sesi jelajah yang dihadiri barisan pelakon pada 9, 10 dan 11 September ini di selatan, manakala 16, 17 dan 18 September di utara.

Berita Harian
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,495FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat