Penangan aura anak Pak Zain

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bukan lagi mimpi. Penantian peminat menyaksikan dua beradik popular ini berkongsi pentas besar, jadi nyata melalui Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Sabtu lalu.

Bagi peminat Ziana dan Anuar, momen inilah yang cukup dinantikan. Selain julung kali mereka digandingkan, persembahan itu juga dianggap menamatkan ‘kemarau’ selepas lebih dua dekad Ziana tidak mementaskan konsert berskala besar.

Bagaikan sebuah biografi, konsert bermula dengan tayangan video mengenai perjalanan awal karier dua beradik itu memaparkan temu bual bersama individu penting di sebalik kejayaan mereka.

Sanjungan diberi kepada ibu bapa, Zain Abdullah atau lebih mesra disapa Pak Zain dan Robiah Abdul yang menjadi pendukung karier seni dua beradik itu selama ini.

Sorakan kira-kira 2,800 penonton yang membanjiri dewan mula kedengaran saat kelibat dua beradik ini muncul di pentas.

Ziana tampak anggun menyarung persalinan rona pastel keemasan penuh manikam hasil sentuhan Amaze. Anuar pula segak mengenakan sut warna senada.

Mempersembahkan Sangkar Cinta dan Bila Resah sebagai mantera pembuka yang cukup ‘remaja’ susunan muziknya, rasa syahdu mula menguasai suasana apabila Ziana melantunkan lagu patah hati iaitu Puncak Kasih, Menadah Gerimis, Anggapanmu serta Terlerai Kasih, iaitu satu-satunya lagu yang tidak pernah dinyanyikan dalam mana-mana persembahan.

Bagi mereka yang selama ini mempertikaikan kemampuan Ziana membawakan lagu bernada tinggi yang menjadi tanda dagangnya, konsert ini membuktikan segala dakwaan itu tidak benar.

 

Ziana membuktikan masih mampu membawakan lagu bernada tinggi pada usia 54 tahun.
Ziana membuktikan masih mampu membawakan lagu bernada tinggi pada usia 54 tahun.

 

Ternyata pada usia 54 tahun, vokal Ziana masih mampu mencapai nota sama hingga ramai yang meluahkan rasa kagum dengan keupayaannya itu.

“Alhamdulillah selepas menjalani pembedahan bariatrik untuk merawat penyakit gastrik yang dialami, barulah saya rasa semakin bertenaga.

“Untuk konsert ini, saya sering beriadah dengan berjalan untuk membina stamina,” dedah Ziana pada sidang media selepas konsert berakhir.

Kemunculan Anuar, 52, menyampaikan lagu Ketulusan Hati dan Mungkin dengan penuh penjiwaan membuatkan penonton larut dalam emosi melankolik yang diciptanya.

Ibarat penyanyi latar, setiap lagu yang mereka dendangkan pasti akan ada suara dari penonton mengiringi nyanyian kedua-duanya.

Biarpun dari sudut yang agak jauh dengan pentas, keakraban Anuar dan Ziana dapat dirasai menerusi kuasa vokal dan humor milik mereka.

Cukup ‘bermain’ di pentas dan diiringi persembahan pemuzik, Anuar dan Ziana tidak memerlukan ‘props’ sarat, penari latar ‘sekampung’ atau gimik untuk memukau penonton.

Itulah penangan anak-anak Pak Zain yang membuatkan mereka berbeza daripada penyanyi lain.

 

Kemunculan Anuar menyampaikan lagu-lagu popularnya dengan penuh penjiwaan membuatkan penonton larut dalam emosi melankolik yang diciptanya.
Kemunculan Anuar menyampaikan lagu-lagu popularnya dengan penuh penjiwaan membuatkan penonton larut dalam emosi melankolik yang diciptanya.

 

Seperkara yang cukup menarik mengenai konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu tentunya dari segi susunan muzik lagu didendangkan.

Paling membekas sudah semestinya lagu Madah Berhelah yang susunan muziknya digubah menjadi pop rock, sekali gus menyuntik elemen segar pada karya ciptaan Saari Amri itu.

Kejayaan konsert berdurasi hampir tiga jam itu dibantu sistem bunyi dan teknik pencahayaan berkualiti, sekali gus menjadikan persembahan itu sempurna.

Cuma tindakan Anuar turun pentas untuk beramah mesra dengan penonton yang mengambil masa terlalu lama, mengganggu keghairahan audiens serta momentum konsert.

Selain berpadu suara menerusi untaian indah seperti Sesuci Cinta Mu, Lembah Asmara dan Di Akhir Garisan, Anuar dan Ziana saling bertukar lagu.

Ziana memberi nafas baharu kepada lagu Sedetik Lebih, manakala Anuar melantunkan lagu Lara dengan caranya tersendiri.

Selepas dijamu persembahan bertaraf mahakarya, khabar gembira mengenai perancangan untuk membawa konsert itu ke Singapura pada 24 September ini menjadi bekalan pulang yang cukup menggembirakan pemuja mereka.

Konsert dikemudi pengarah muzik, Lee Sze Wan. Tiket habis dijual dalam tempoh 72 jam.

Antara rakan selebriti hadir Noryn Aziz, Misha Omar, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Shuib Sepahtu, Datuk Ziela Jalil, Datuk A Aida, Ernie Zakri dan Syamel.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat