Kekesalan Fimie Don…

- Advertisement -

PELAKON Fimie Don, 22, berasa sangat kesal dan pernah kecil hati apabila pihak produksi kini lebih menilai jumlah pengikut artis di media sosial berbanding bakat dimiliki untuk memberi tawaran berlakon.

Fimie atau nama sebenar Shafimie Saedon berkata dia terkilan dengan situasi berkenaan kerana baginya tidak adil dan boleh melenyapkan peluang pelakon yang betul-betul berbakat.

“Situasi pihak produksi menilai jumlah pengikut di Instagram (IG) seseorang pelakon untuk diberikan tawaran projek drama atau telefilem ini sudah lama berlaku.

“Saya pun pernah tak ada tawaran berlakon selama empat bulan sekitar tahun lalu kerana berdepan masalah jumlah pengikut IG tak banyak. Ketika itu, saya cuma memiliki lebih 130,000 pengikut.

“Malah, saya pernah panas hati dan bercakap kasar di telefon dengan seorang wakil syarikat produksi hanya kerana pertanyaannya berkaitan jumlah pengikut saya di IG.

“Sepatutnya, dalam soal pengikut IG ini, boleh sahaja mereka (pihak produksi) ‘check’ dahulu dan tidak perlu pun telefon artis untuk bertanya. Ini kerana, nanti mereka juga yang cakap sedikit dan menolak terus pelakon itu,” ujarnya.

Jelas Fimie lagi, bagaimanapun kini jumlah pengikutnya sudah meningkat kepada 260,000 orang selepas dia tular dengan video lagu Jangan Panggil nyanyiannya.

“Apapun, saya sangat kesal dengan situasi ini yang mana jumlah pengikut IG lebih dinilai berbanding bakat. Ditambah, saya pula sudah aktif berlakon sejak berumur lima tahun.

“Selain itu, ada juga pihak stesen TV akan menolak terus nama seseorang pelakon apabila mendapati jumlah pengikut IG kurang daripada 500,000 orang.

“Saya pun pernah lalui pengalaman itu (stesen TV tolak nama) kerana nama ditolak berikutan didakwa tidak popular hanya disebabkan pengikut IG tidak ramai,” katanya.

Yakin dengan rezeki Allah, Fimie berkata dia juga kini aktif menjalankan perniagaan menjual popia goreng pelbagai perasa secara kecil-kecilan.

“Walaupun perniagaan popia saya yang dibuat dan dimasak sendiri itu masih baharu diusahakan, tetapi Alhamdulillah setiap hari ada tempahan daripada pelanggan.

“Saya jual sahaja popia goreng untuk pendapatan sampingan. Pada saya, sekali pun tak ada tawaran berlakon tetap kena usaha cari rezeki,” katanya.

Mengulas pula soal teman wanita, Fimie yang dikenali dengan drama Hikayat Putera Shazlan sekitar 10 tahun lalu berkata hatinya sudah dimiliki.

“Saya dah ada kekasih. Wanita berumur 24 tahun dan bekerja sebagai pelukis batik. Kami baru setahun bercinta.

“Cuma, saya tak banyak kongsi foto kami di IG kerana menghormati permintaan kekasih. Dia pun bukan selebriti, jadi saya rasa ada banyak kebaikannya tidak dikongsi,” katanya.

Mengulas kerjaya lakonannya, Fimie akan muncul dengan filem Butak arahan pelakon dan pengarah berkaliber, Sabri Yunus di pawagam tidak lama lagi.

Melakon watak sebagai Panjang dalam filem itu, Fimie berkata menariknya adalah jalan cerita dan mesej nak disampaikan kepada penonton.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat