KUALA LUMPUR- Penyertaan Malaysia ke dalam kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) bukan berniat mencampuri urusan domestik dan politik negara lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia sebaliknya menekankan keutamaan dalam hal ehwal perdagangan dan perluasan jaringan supaya kesemua rantaian dalam negara memperoleh manfaatnya.
Justeru itu, katanya, tiada alasan mengapa Malaysia harus berasa bimbang akibat menyertai BRICS selain terdapat negara menganggotai BRICS turut menjadi ahli dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Menurut Anwar, Malaysia sudah mengkaji kemungkinan dan implikasi dalam hubungan dengan negara BRICS dan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) sebelum memohon menyertai kumpulan ekonomi itu.
“Dalam hubungan kita dengan negara yang ada termasuk Barat dan APEC, kita tidak setuju dengan semua hal, malah ada pertentangan dan perbedaan besar kita contohnya dalam isu Gaza, negara berkembang, persaingan perdagangan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), tetapi tidak menyebabkan kita harus putuskan hubungan.
“Jadi, samalah macam BRICS walaupun sistemnya berbeza, tetapi dalam hubungan dagangan dan kerjasama, mereka negara yang rapat dengan kita.
“Ada juga negara dalam BRICS seperti Afrika Selatan atau India mengamalkan sistem demokrasi yang lebih dekat dengan kita. Ini juga tidak menghalang,” katanya semasa waktu pertanyaan-pertanyaan perdana menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Anwar berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) jika kerajaan sudah meneliti implikasi penyertaan Malaysia ke dalam BRICS yang mempunyai latar belakang ekonomi dan politik berbeza terutama dalam isu de-dolarisasi.
Pada 18 Jun lalu, Anwar mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk Malaysia menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
Terdahulu, ketika wawancara bersama bersama syarikat penerbitan berpangkalan di Shanghai, China iaitu Guancha, Anwar berkata, Malaysia memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS dan kini menunggu maklum balas.
BRICS ialah kumpulan ekonomi sedang pesat membangun membabitkan Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.
Blok itu ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China manakala Afrika Selatan kemudian menyertai kumpulan itu pada 2010.
Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.
BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.
Pun begitu, di sebalik manfaat dan peluang yang dibingkaikan kerajaan selepas Malaysia memohon menyertai BRICS, wujud pandangan berbeza berhubung implikasi jika Malaysia secara rasmi menganggotainya.