KKM batal notifikasi dua produk kosmetik mengandungi racun berjadual

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi dua produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan ia tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata produk berkenaan ialah Ailas Wild Rose Petal Face Cream dan Desha Night Cream (pelembap) yang kedua-duanya dikesan mengandungi tretinoin dan merkuri.

Beliau berkata pembatalan notifikasi produk itu dibuat oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM.

“Merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau bayi dalam kandungan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Dr Muhammad Radzi memberitahu produk yang mengandungi tretinoin iaitu ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pula hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Beliau berkata penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini kepada kulit seperti menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Sehubungan itu, beliau menggesa penjual dan pengedar produk terlibat agar menghentikan serta-merta penjualan serta pengedaran semua produk berkenaan kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu berdepan hukuman maksimum denda RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 untuk kesalahan pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Mereka juga digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat