Pembangkang Suka Bergosip, Sembang Kari – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Blok pembangkang didakwa suka bergosip dan menjadikan isu-isu remeh sebagai bahan ‘sembang kari’.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung 14 Mei lalu telah dijadikan bahan gosip pembangkang dan itu jelas menggambarkan sikap politik sempit yang diamalkan mereka.

“Buat mereka yang terus mencari-cari isu pula, ungkapan “great minds discuss ideas, small minds gossip about others” (mereka yang berjiwa besar berbicara tentang idea, mereka yang berjiwa kerdil suka bergosip). Ungkapan ini amat sesuai menggambarkan sikap mereka.

“Menjemput tetamu ke rumah kita adalah isu yang menjadi bahan sembang kari mereka. Soal gambar dalam persiapan dewan mengikut kesesuaian majlis pun, mereka nak ambil port. Alangkah kerdilnya pemikiran mereka berbanding kita.

“Sedangkan bagi kita, Kerajaan Perpaduan adalah gagasan besar; Masyarakat Madani adalah falsafah besar; Mendepani landskap politik baharu, adalah anjakan besar.

“Semua ini membuktikan kita sentiasa memikirkan agenda dan idea hebat buat negara,” kata Zahid dalam ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 di WTCKL pada Jumaat.

Sehubungan itu, seru Zahid Umno perlu berani untuk berhadapan dengan kelompok jiwa sempit yang memperalatkan Melayu dan Islam untuk kelangsungan politik mereka.

“Ini kerana, rekod perjalanan politik kita, sentiasa dipandu oleh Fasal 3 Perlembagaan UMNO, yang tetap mempertahankan Islam, Melayu, Perlembagaan Persekutuan serta perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum.

“Dengan memberikan gambaran besar peranan Umno sepanjang laluan sejarah kenegaraan, kita seharusnya merasa lebih yakin tentang keberadaan kita di dalam kerajaan sekarang,” ujar beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Dalam perkembangan lain, Zahid menambah menyatakan beliau insaf, ketika parti membuat keputusan untuk bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau, sirah Perjanjian Hudaibiyah wajib menjadi pedoman khususnya umat Islam.

“Walaupun ada kalangan para sahabat Rasulullah S.A.W tidak bersetuju dengan Baginda ketika itu dengan perjanjian berkenaan, namun akhirnya, hikmah kepada perjanjian itu, Fathu Makkah menjadi detik manis dan sejarah besar dalam perjuangan Islam.

“Oleh yang demikian, dengan perubahan laman politik dunia dan juga di dalam negara, ia menuntut kita agar segera melakukan penyesuaian yang mengambil pertimbangan masa hadapan.

“Evolusi politik dunia menyaksikan banyak negara kini membentuk kerajaan pelbagai parti, sama ada atas nama kerajaan campuran mahupun kerajaan perpaduan. Parti-parti politik yang sebelumnya berseteru dan tidak boleh bersama, kini bergabung membentuk kerajaan, demi rakyat.

“Dulu lawan tetap lawan, masing-masing membawa haluan dan kini kita menjadi kawan demi kekuatan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Menurut Zahid lagi, hari ini, lebih 70 negara di dunia membentuk kerajaan perpaduan seperti New Zealand, Perancis, Denmark, Brazil dan pelbagai negara yang lain. Kebanyakan negara Barat dan Asia, melorongkan pembentukan ‘Unity Government’ bagi memadamkan polemik politik yang selama ini, merencatkan kestabilan dan menyekat penjanaan ekonomi negara serta rakyat.

“Kita juga dalam konteks ini tidak terkecuali. Mahu tidak mahu, pembentukan kerajaan mestilah mengambil kira kepentingan negara dan rakyat, tanpa ada lagi keluh kesah, mengenai ketidakstabilan pentadbiran yang membawa masalah kepada rakyat.

“Umno yang lahir atas nama kebangkitan rakyat dan maruah negara, sudah pasti tidak mahu membiarkan Malaysia terus terjerumus ke kancah konflik politik yang berpanjangan. Kita perlu segera bangkit, bagi menyusun langkah dan rencana untuk bersama-sama menyertai politik progresif dunia masa kini.

“Umno, perlu memiliki ‘progressive nature’ atau sifat progresif ini. Dalam berpegang teguh kepada perjuangan untuk Agama, Bangsa dan Negara, pergerakan kita ke hadapan perlu menggarap unjuran politik semasa. ‘Progressive nature’ ini juga bermaksud, kerajaan benar-benar melestarikan pembangunan negara dan rakyat, tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan fahaman politik.

“Keserataan nikmat pembangunan mesti diagihkan. Jika Semenanjung lebih berketrampilan daripada segi ekonominya, maka Sabah dan Sarawak juga berhak memperolehinya. Padamkan emosi mengenai jurang perbezaan ini,” seru Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi.

Tambah Zahid, dalam konteks Kerajaan Perpaduan Malaysia, ia adalah satu realiti politik yang terhidang di hadapan kita.

“Dengan penyertaan 19 parti-parti komponen, lebih besar daripada caturan kerjasama politik 1974, sudah tentu rencamnya lebih rumit.

“Namun, kepelbagaian yang terdapat, seharusnya dilihat sebagai suatu kekuatan, bila mana kita berupaya untuk berdiri atas titik-titik persamaan.

“Sementara kita meraikan perbezaan dan persamaaan, Umno akan memastikan kekuatan yang dibina ini, akan tetap berpaksikan kepada asas-asas negara yang selama ini, menjadi pelindung keamanan, keharmonian dan kestabilan negara,” ujarnya.

Di samping itu kata beliau lagi, dalam tempoh tujuh bulan Kerajaan Malaysia Madani ini, ada suara-suara yang mengatakan banyak perkara yang menjadi game changer masih belum terlaksana.

“Berilah peluang kepada kerajaan ini untuk menterjemahkan agenda yang telah dijanji dan dirancang. Saya percaya, ini dapat dilaksanakan dengan dukungan kakitangan awam, yang berpegang kepada prinsip menumpahkan taat setia kepada kerajaan semasa.

“Walaupun kita tahu, ada segelintir kecil yang masih berkiblatkan kepada orang lama yang mereka minati sebelum ini, akan tetapi kita yakin, mereka akan kembali bersama dengan kerajaan sedia ada bagi melaksanakan dasar kerajaan untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” ujar Zahid.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat