KUALA LUMPUR – Umno bukan ‘political chameleons’ atau mengkarung politik seperti didakwa kononnya menggadai maruah Melayu dan Islam serta Bumiputera apabila menyertai Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya tegas Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, parti Melayu itu tetap mempertahankan empat perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sementara kita melakukan penyesusaian politik berdasarkan realiti politik semasa, termasuklah dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan sejak 24 November tahun lalu, perkara pokok atau asas yang melibatkan soal Islam, Melayu dan Bumiputera tidak pernah dicabar atau cuba dirobek oleh mana-mana rakan kongsi politik kita.
“Harapan saya, kesalingan yang terbentuk ini akan memadamkan kecurigaan sesama kita. Jangan lagi ada kenyataan-kenyataan yang boleh menguris hati antara kita.
“Kepada sahabat-sahabat kita, jangan diusik hati dan perasaan orang Melayu. Begitu juga dengan kita, elakkan tutur dan tindakan yang boleh mengundang resah sahabat dan rakan.
“Andai ada yang cuba memainkan sentimen, kononnya kerjasama politik yang dilakukan oleh Umno, akan menghakis kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, suka saya tegaskan, Umno bukan mengkarung politik,” kata Zahid dalam ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 di WTCKL pada Jumat.
Sementara itu, kata Zahid lagi, umum biasa mendengar ayat-ayat Allah dijadikan sandaran untuk mereka mengeluarkan pelbagai fatwa politik mengikut kepentingan.
“Dalam soal Melayu, kita mendengar fatwa politik tentang assabiyah. Kini merekalah kononnya penyelamat Melayu.
“Dalam soal hudud, kita pernah dikafirkan dan kemudian atas kepentingan kerakusan politik mereka, disebut pula hudud bukan keutamaan. Semasa mereka berada di dalam kerajaan, mana perginya agenda RUU 355? Ingatlah pesan Allah “Dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayat-ku (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.
“Peringatan Allah ini, cukup untuk menggambarkan golongan yang memperdagangkan ayat-ayat Allah, berselindung di sebalik kepentingan politik sempit mereka. Benarlah, mereka adalah mengkarung politik yang bukan sahaja berubah warna dan wajah tetapi lebih dahsyat, parti ini seolah-olah, menjadi pemegang neraca, di yaumul mahsyar. Nauzubillah,” ucap Timbalan Perdana Menteri itu lagi.
Selain itu, Zahid menambah, sudah terlalu sering mendengar tuduhan kepada Umno yang berselindung di sebalik nama Bumiputera.
“Akan tetapi, tidak sampai pun dua tahun di puncak kuasa, Bumiputera yang kononnya menjadi agenda perjuangan mereka, telah di ‘Jana Wibawa’ kan. Inilah ciri-ciri pengkhianat yang membalut dirinya dengan slogan Bersih dan Stabil kononnya.
“Begitu juga dalam soal kalimah Allah. Kini mereka gegak gempita cuba menjadi juara, dengan menyelewengkan fakta kononnya kerajaan hari ini, telah menggadai kalimah Allah. Hakikatnya, pendirian Umno tidak berubah walau seinci pun.
“Umno dan wakil kita di dalam Kabinet, walaupun tanpa perlu berkokok seperti ayam jantan, dengan tegas menyatakan, kalimah Allah tidak boleh diguna pakai oleh agama lain. Alhamdulillah, penegasan kita ini juga menjadi pendirian Kerajaan Perpaduan,”jelas beliau.
Berbanding dengan mengkarung politik yang menunggang agama suatu ketika dahulu katanya, semasa bersama rakan politik yang sama seperti kita hari ini, mengatakan tidak salah untuk agama lain menggunakan kalimah Allah.
“Apa pun hujah mereka, yang jelas dan nyata, mereka akan menukar kulit mengikut suasana. Melayu dan Islam bagi mereka, hanya topeng yang digunakan dalam persembahan sandiwara politik.
“Sedarlah, Melayu dan Islam bukan topengan. Melayu dan Islam punya santun dalam tindakan, hemah dan sopan dalam pertuturan,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.
Justeru, Zahid menyeru kepada seluruh rakan-rakan dalam Umno, agar tidak apologetik.
“Apabila kita menyuarakan soal-soal keindukan Islam, Melayu dan Bumiputera, kerana pada masa yang sama kita tidak pernah meminggirkan hak dan kepentingan kaum-kaum lain di negara ini.
“Malah usaha memperkasa dan menerapkan nilai-nilai Islam tetap menjadi agenda kita di dalam kerajaan hari ini di samping menghormati kebebasan penganut agama-agama lain,” kata Zahid.