KUALA LUMPUR – Umno memikul amanah yang amat besar kerana berhadapan dengan negeri-negeri yang dikategorikan sebagai Jalur Melayu atau the malay belt iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua ahli Umno untuk bersama membawa umat Melayu dan rakyat di negeri-negeri berkenaan, menjadi sebahagian daripada Kerajaan Madani yang benar-benar mencerminkan wajah Malaysia.
Presiden Umno itu menegaskan bahawa Umno tidak mahu, negeri-negeri berkenaan diheret ke kancah fahaman politik yang memisahkan rakyatnya daripada hakikat laman politik tanah air.
“Jika kita benar-benar mahu melihat Islam dan Melayu unggul, kebersamaan di dalam Kerajaan di Putrajaya akan mengukuhkan agenda Islam Melayu yang sederhana dan progresif.
“Banyak agenda pembangunan asas, terutama di Kedah dan Kelantan, memerlukan perubahan-perubahan besar. Islam itu bersih. Bersih di luar dan bersih di dalam.
“Untuk bersih, Islam memerlukan air bersih. Soal keperluan air bersih umpamanya di Kelantan, seolah-olah jalan penyelesaiannya tidak kunjung tiba. Apakah mereka tidak diberi peluang? Tiga puluh tiga tahun menjadi pemerintah di negeri dan wakil mereka pernah menjadi Menteri yang menjaga air, air karat masih gagal ‘dijernihkan’. Karatnya air begitu jugalah karatnya hati mereka,” bidas beliau dalam ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 di WTCKL pada Jumaat.
Oleh yang demikian, seru Zahid sudah tiba masanya, anak-anak Kelantan, Kedah dan Terengganu di perantauan membuat perubahan.
“Fikirkanlah nasib ibu ayah yang tinggal di negeri-negeri berkenaan. Janganlah dek kerana satu undi yang kita berikan, kita akan terus membiarkan ibu ayah kita, berhadapan dengan kesulitan hidup berterusan.
“Inilah masanya untuk mereka bersama-sama dengan Kerajaan Malaysia Madani.
“Ketentuan Allah memberikan kita peluang untuk membuat perubahan. PRN ini dilaksanakan dalam keadaan sebuah kerajaan Persekutuan yang stabil, telah pun dapat dibentuk.
“Gunakanlah peluang pilihan raya negeri-negeri ini, untuk kita memastikan semua negeri ini membentuk kerajaan yang seiring dengan Persekutuan. Insyaallah, kita akan mampu membawa negeri-negeri berkenaan, melakukan perubahan dan hidup rakyatnya penuh dengan kesejahteraan,” ujar Timbalan Perdana Menteri itu.
Sementara itu, tambah Zahid lagi atas semangat dan pendekatan kebersamaan, Kerajaan Perpaduan akan berhadapan dengan Pilihan Raya di enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Kerjasama yang baharu terbentuk sekitar tujuh bulan ini, yang masih dalam peringkat permatangan, akan menjadi medan untuk kita memupuk persefahaman. Kita akan berhadapan dengan dua situasi berbeda pada PRN kali ini. Pertama, tiga negeri yang kini ditadbir oleh rakan kita dan kedua tiga lagi negeri yang dikuasai pihak lawan.
“Apa yang ingin kita capai melalui PRN tersebut. Sudah tentu, kita bersama-sama rakan politik dalam kerajaan.
“Kita bertekad mahu mempertahankan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan; di samping memecahkan tembok penguasaan pihak lawan di Kedah, Terengganu dan Kelantan.
“Juga berusaha meningkatkan keberadaan Umno dan BN bagi mencerminkan kebersamaan Kerajaan Perpaduan dan membentuk Kerajaan Perpaduan dengan pembahagian pentadbiran negeri mengikut parti-parti teras dalam kerjasama di enam negeri yang terlibat.
Dalam pada itu, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan untuk bergerak ke hadapan, Umno yang kini bersama-sama di dalam kerajaan, mempunyai peranan besar antaranya menjadi pelindung dan benteng kepada asas-asas keindukan bernegara, agar Islam, Melayu-Bumiputera dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan terus dipertahan dan tidak dipertikai.
“Selain itu Umno juga menjamin kerjasama politik yang dijalin adalah atas kepentingan negara dan rakyat di samping menentukan kestabilan negara tidak akan diganggu gugat oleh mereka yang kemaruk untuk berkuasa.
“Juga memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) kekal menjadi rakan strategik politik Kerajaan Perpaduan dan kedudukan Umno serta BN mestilah mencerminkan representasi sebenar keberadaan kita khususnya di Semenanjung dan Sabah.
“Umno juga memainkan peranan penting dalam isu-isu ummah melalui kerjasama dengan negara-negara Islam dan meningkatkan penglibatan Malaysia di pentas antarabangsa, bagi menarik lebih banyak pelaburan dan perniagaan ke negara ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya.