Umpama berada dalam F-18

- Advertisement -

FILEM: Top Gun: Maverick

PENGARAH: Joseph Kosinski

PENULIS SKRIP: Ehren Kruger, Eric Wareen Singer dan Christopher McQuarrie

PELAKON: Tom Cruise, Miles Teller, Jennifer Connelly, Joh Hamm, Glen Powell, Lewis Pullman, Ed Harris dan Val Kilmer

TERBITAN: Skydance Media, Jon Simpson/Jerry Bruckheimer Films

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Filem Top Gun: Maverick bukan filem terbaharu yang ditayangkan di pawagam dunia. Di Malaysia, filem ini ditayangkan sejak 26 Mei lalu.

TANPA perlu diperkenalkan lagi, tentunya ramai yang sedia maklum mengenai filem sekuel kepada filem Top Gun yang pernah ditayangkan pada 1986.

Tentunya, bagi mereka yang pernah membesar dan menonton filem pertama pada 36 tahun lalu, kehadiran filem ini menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan.

Sebagai penggemar filem aksi, saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk hadir ke pawagam dan menyaksikan sendiri evolusi Top Gun yang masih diterajui oleh bintang utamanya, Tom Cruise.

Secara ringkasnya, Top Gun: Maverick mengisahkan mengenai Captain Pete ‘Maverick’ Mitchell lakonan Cruise yang masih berkhidmat untuk tentera laut Amerika Syarikat kini ditugaskan untuk melatih sekumpulan tentera elit generasi baharu.

Tugasan kumpulan tentera elit ini adalah untuk mengebom kawasan haram milik kerajaan asing yang dibuka untuk melombong uranium.

Seorang anggota dalam kumpulan itu adalah anak kepada mendiang sahabatnya, Nick ‘Goose’ Bradshaw iaitu Bradley ‘Rooster’ Bradshaw. Dari situ timbul beberapa konflik yang kemudian dapat diselesaikan dengan baik.

Apa yang ingin saya kongsikan adalah, walaupun anda tidak menonton filem pertama, anda tidak perlu ragu dan risau kerana jalan cerita dalam filem sekuel ini sangat mudah difahami dan disusun dengan begitu baik.

Perkembangan babaknya sangat mudah difahami dan beberapa kali turut diselitkan dengan babak daripada filem pertama yang mana sedikit sebanyak membuatkan generasi baharu lebih faham apa yang ingin disampaikan dalam babak itu.

Babak aksi kejar-mengejar di ruang udara dengan pelbagai teknik hebat sangat membuka mata dan membuatkan penonton tidak berganjak daripada kerusi pawagam.

Walaupun sekadar menonton, saya tidak nafikan, adrenalin saya bergerak dengan sangat pantas umpama saya sendiri yang berada dalam pesawat F-18 itu.

Bagi generasi terdahulu, kemunculan babak flashback itu tentunya umpama mengimbau kenangan masa lalu.

Banyak komen dan kritikan di media sosial daripada penonton tempatan yang memberikan reaksi positif di samping rasa puas hati dengan kehadiran sekuel ini.

Ada juga beberapa kenalan saya yang memaklumkan bahawa ibu bapa mereka juga begitu teruja dan tidak melepaskan peluang untuk ke pawagam dan menonton sendiri filem ini.

Bercakap mengenai filem bercorak ketenteraan udara sebegini, Malaysia juga bakal digegarkan dengan kemunculan filem berjudul Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

Dihasilkan sejak beberapa tahun lalu sebelum pandemik melanda dunia, filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa arahan pengarah Zulkarnain Azhar dan Frank See ini nampaknya tidak kurang hebat.

Saat menonton trailer filem yang bakal ditayangkan pada 25 Ogos depan, ternyata banyak babak yang mampu membuka mata masyarakat untuk menghargai karya filem tempatan.

Tentunya, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa tidak akan terlepas daripada menjadi bahan kajian dan perbandingan dengan filem daripada genre sama antaranya Top Gun: Maverick ini.

Pasti akan ada persamaan dan kelainan yang akan diperdebatkan. Namun, nantikan kehadiran filem tempatan ini di pawagam dan lihat sendiri bagaimana kehebatannya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat