Bon Odori cuma pesta budaya, Idris disyor hadir – Sultan Selangor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berpandangan bahawa Festival Bon Odori yang telah diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun, adalah hanya satu perayaan kebudayaan.

Malah titah Baginda, di Malaysia khususnya di Selangor, Bon Odori diraikan bagi mengeratkan semangat muhibah di antara rakyat Malaysia dengan komuniti masyarakat Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Baginda tidak mahu pihak-pihak tertentu khususnya ahli-ahli politik menggunakan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama sebegini untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti semata-mata.

Susulan itu, Baginda menggesa mereka agar tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik yang mendalam.

“Mereka juga perlu berlaku adil dalam membuat apa jua kenyataan umum yang melibatkan keharmonian bermasyarakat.

“Baginda mencadangkan agar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad untuk hadir ke program sambutan Bon Odori pada 16 Julai 2022 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic) supaya dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.

“Baginda tidak mahu Menteri menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasi JAKIM,” titah Baginda dalam hantaran di Facebook Selangor Royal Office pada Khamis.

Pada 6 Jun lalu, Idris selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai program Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini kerana ia mengandungi unsur agama lain.

Kerana kata beliau kajian JAKIM mendapati program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Ekoran kenyataan itu, Sultan Selangor menambah, perayaan ini menjadi popular apabila banyak syarikat-syarikat dari Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di Negeri Selangor.

Justeru titah Baginda, Bon Odori menjadi platform memperkenalkan budaya hiburan Jepun di samping merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara.

Titah Baginda lagi, sambutan Bon Odori di Malaysia adalah lebih kepada festival kebudayaan yang mempamerkan budaya tradisional rakyat Jepun khususnya tarian, persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian dan makanan tradisi Jepun, serta produk makanan tempatan. Ia juga dipromosikan sebagai hari untuk menyatukan kembali keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu.

Baginda sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan ini pada tahun 2016 diiringi oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia dan menerusi pemerhatian Baginda, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir menyaksikan.

Bagaimanapun, Baginda telah menitahkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke festival tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar dan memastikan sambutannya tidak merosakkan akidah umat Islam.

Tegas Baginda, apa saja bentuk budaya yang diamalkan oleh setiap masyarakat di dunia ini, sememangnya ada hubungkait dengan agama. Namun seiring peredaran zaman, amalan-amalan budaya ini tidak lagi menonjolkan ciri-ciri keagamaan.

Baginda berharap supaya rakyat Selangor yang berbilang bangsa ini akan terus dapat hidup bertoleransi dalam suasana yang muhibbah dan harmoni.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat