Zuraida Bakal Presiden PBM

AMPANG – Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan keahlian Datuk Zuraida Kamaruddin secara rasmi berkuatkuasa hari ini.

Presiden PBM, Larry Sng berkata pihaknya turut sebulat suara mengangkat Zuraida Kamaruddin sebagai “president designate” iaitu bakal Presiden parti berkenaan.

“Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia akan bermesyuarat sekali lagi di dalam masa terdekat untuk menyusun semula perlembagaan parti bagi membolehkan proses transisi kepimpinan ini berjalan dengan lancar dan teratur.

“Datuk Zuraida Kamaruddin adalah seorang pemimpin berwibawa, berpengalaman dan mempunyai visi yang berpadanan dengan aspirasi Parti Bangsa Malaysia yang menginginkan perubahan holistik dalam membentuk Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju,” katanya pada Sidang Media Khas PBM hari ini.

Larry berharap keputusan ini lebih berupaya untuk meningkatkan lagi politik khidmat bakti PBM demi membantu rakyat Malaysia untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.