ANIMASI keliru syarat baharu projek RTM 2023

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tawaran membekalkan program bagi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2023 yang diumumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) terus mencetuskan polemik dalam kalangan penggiat industri.

Sebelum ini, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menagih janji dibuat RTM untuk mengumumkan nama syarikat produksi berjaya disenarai pendek menerusi sesi saringan perolehan Oktober lalu dan menyarankan kelompok ini diberi peluang automatik sebagai pembekal yang layak menjual hasil penerbitan bagi siaran tahun depan, kali ini giliran Persatuan Animasi Malaysia (ANIMASI) pula bersuara.

Memperincikan perkara itu, Presiden ANIMASI, Amir Hamzah menyifatkan tindakan RTM meletakkan perkataan anime sebagai syarat menghasilkan program animasi cukup mengelirukan.

“Selepas RTM mengeluarkan notis pemberitahuan mengenai sesi saringan perolehan, ramai penggiat animasi meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap syarat baharu diperkenalkan.

“Antaranya, meletakkan perkataan anime sebagai syarat pembikinan program animasi dan menawarkan hanya satu judul sahaja berbanding sebelum ini.

“Sebagai penaung persatuan ANIMASI, saya ingin memohon penjelasan daripada pihak RTM apakah yang dimaksudkan dengan perkataan anime.

“Adakah pihak RTM mahu karyawan menghasilkan animasi yang kita tahu acuannya untuk mengetengahkan karakter, budaya dan pemikiran masyarakat negara Matahari Terbit? Ataupun maksudnya, penggiat industri perlu menjadikan anime sebagai inspirasi atau sumber rujukan?

“Mungkin pihak RTM boleh memberi pencerahan kerana syarat yang tertera mengelirukan,” katanya kepada BH Online.

Tambah Amir, jika benar RTM mahu pengkarya menghasilkan anime, banyak aspek yang harus diberi perhatian, terutama dari segi bajet kerana proses pembikinannya memerlukan kos sangat tinggi.

“Kami bukan tidak boleh buat, tetapi jika benar mereka mahu kami menghasilkan anime yang kualitinya sama seperti dihasilkan pelukis animasi di Jepun, bajetnya sangat tinggi. Untuk sebuah program berdurasi sejam, kos menelan kos hingga RM200,000 untuk satu episod sahaja.

“Itu belum masuk soal tempoh pembikinan. Untuk program yang memakan masa selama setengah jam, paling lama masa yang perlu diperuntukkan selama enam bulan. Bayangkan jika durasi sejam, berapa lama pula tempoh untuk menyiapkannya.

“Biasanya paling lama hingga 10 bulan. Keadaan ini pasti akan memberi tekanan kepada produksi,” tegasnya.

 

Amir berkongsi ANIMASI bercadang menerbitkan komik berteraskan pendidikan untuk kegunaan pelajar dalam usaha mengembalikan semula zaman kegemilangan komik NSTPAziah Azmee

 

Pada masa sama, Amir turut meluahkan perasaan kesal dengan keputusan pihak RTM yang menawarkan hanya satu judul sahaja berbanding empat judul sebelum ini.

“Sudahlah memberikan syarat ketat dan mengelirukan, hanya satu judul sahaja ditawarkan. Kita ada banyak syarikat produksi animasi yang bagus, tetapi langkah terbatas kerana tiada ruang dan peluang.

“Saya harap pihak RTM dapat mengkaji semula keputusan ini demi kebaikan semua pihak,” ujar Amir ketika ditemui pada program Zoom Kartun Ramadan di pusat beli-belah, KL Gateway Mall, Kerinchi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Amir turut memaklumkan menerusi program Zoom Kartun Ramadan dianjurkan berjaya mencapai kata sepakat untuk memperkasakan industri komik dengan lebih agresif dalam media sosial.

“Tidak dinafikan perkembangan teknologi digital menyebabkan orang tidak lagi membaca komik. Kami tidak mahu industri komik dan animasi terus dirundung awan gelap, jadi ambil inisiatif ini untuk memperhebatkan lagi promosi di pelantar digital dengan menggunakan kaedah ‘non-fungible tokens’ (NFT).

“NFT adalah salah satu medium teknologi yang amat berkesan dalam memasarkan produk animasi di seluruh dunia. Selain boleh memasarkan hasil kreatif, NFT juga mampu menjaga keselamatan dan ketulenan setiap karya kreatif karyawan, artis, komposer dan penerbit.

“Karakter animasi televisyen popular sekitar 1990-an seperti Keluang Man menjadi animasi pertama menggunakan kaedah NFT ini,” katanya.

Antara pengisian program Zoon Kartun Ramadan, termasuk pameran karya seni dipanggil #InkRamadan, bengkel melukis kartun oleh Ustaz Kartun, forum bersama Tokoh Kartunis Malaysia 2021, Ujang.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat