Oleh Zihan Zari
CYBERJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR), telah menyerahkan Projek Pembinaan Pusat Rekod Pendaftaran Negara (PRPN) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bernilai RM119 juta merupakan projek penting di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi menyediakan kemudahan penyimpanan rekod yang lebih sistematik dan selamat.
Majlis Penyerahan PRPN (Bangunan Nilam Sari) kepada KDN telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) , Dato’ Sri Ir. Roslan; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman; dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Dato’ Badrul Hisham Alias.
Ahmad berkata projek PRPN telah dilaksanakan oleh JKR selaku agensi pelaksana dan bangunan tersebut dibina di atas tapak seluas 9.371 ekar di Cyberjaya yang bermula dengan Tarikh Milik Tapak (TMT) pada 18 Nov 2020 telah berjaya disiapkan dengan pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), iaitu 32 hari lebih awal daripada tarikh siap semasa yang diluluskan pada 13 April 2026.
“Projek ini diselia oleh Pasukan Projek Khas 1 (PPK1), JKR dan dilaksanakan menggunakan kaedah Konvensional Perunding, berpandukan Garis Panduan Pusat Rekod Agensi oleh Arkib Negara Malaysia (ANM) serta piawaian antarabangsa MS ISO 11799:2011 – Information and Documentation – Document Storage Requirements for Archive and Library Materials.
“Piawaian ini meliputi aspek penyimpanan, pemeliharaan dan pemuliharaan dokumen fizikal, media mikrofilem serta imej digital bagi jangka masa panjang,”katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, pusat rekod ini dibangunkan untuk menempatkan rekod pendaftaran berkaitan kependudukan rakyat Malaysia secara berpusat serta berkeupayaan menampung penyimpanan sehingga 30 tahun akan datang.
“Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor utama, NS Construction Sdn. Bhd., menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan pencapaian skor IBS melebihi 70 peratus (%).
“Skop projek merangkumi pembinaan kemudahan seperti pejabat pengurusan dan pentadbiran, ruang kerja dan operasi; ruang Repositori, ruang gunasama seperti kafe, tandas dan surau, tempat letak kenderaan; serta bangunan sokongan.
“Projek ini turut mencatat pencapaian ‘3 dalam 1’, iaitu penyediaan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), Lukisan Siap Bina dan Penyata Akaun Muktamad (Statement of Final Account – SOFA),”ujarnya.
“Projek ini mencapai beberapa nilai tambah lain seperti Zero Lost Time Injury (LTI), penyediaan Dokumen Pendaftaran Aset, pelaksanaan asset tagging bagi semua blok, ruang dan komponen arkitektural, mekanikal, elektrikal serta ICT, penyediaan Dokumen Operasi dan Penyelenggaraan (O&M), penyiapan Building Information Modelling (BIM) LOD 500 serta memperoleh Certificate of Completion and Compliance (CCC), ”ujarnya lagi.
Tambahnya, pelaksanaan projek ini membuktikan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menyediakan kemudahan penyimpanan rekod yang memenuhi keperluan tadbir urus yang baik serta pematuhan kepada kehendak undang-undang.
“Bangunan Nilam Sari diharap dapat memperkukuh pengurusan dan penyimpanan rekod kependudukan negara secara lebih sistematik, selamat dan berpiawaian, seterusnya menyokong kesinambungan penyampaian perkhidmatan JPN dan Kerajaan.
“KKR akan terus komited memastikan setiap projek infrastruktur dilaksanakan secara profesional, mematuhi garis panduan pembangunan tempatan serta menepati piawaian kualiti yang ditetapkan demi manfaat jangka panjang rakyat, khususnya dalam memperkasa tadbir urus dan ekosistem keselamatan maklumat negara, ”tambahnya lagi.-SUARA.TV



