KUALA LUMPUR, — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan enam kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kekal menjadi milik parti berkenaan, walaupun penyandang asalnya telah dipecat.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata asas rundingan pengagihan kerusi dalam mana-mana gabungan politik adalah berdasarkan parti yang bertanding dan menang pada pilihan raya lalu, bukannya individu calon.
Menurut beliau, kerusi Larut, Gerik, Padang Rengas, Tasik Gelugor, Machang dan Indera Mahkota merupakan kerusi Bersatu kerana dimenangi atas tiket parti itu.
“Hamzah dan lima lagi Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat bukan lagi ahli Bersatu dan anggota Perikatan Nasional (PN). Kerusi mereka dimenangi oleh Bersatu.
“Asas kepada rundingan kerusi adalah parti mana yang bertanding dan menang dalam pilihan raya yang lepas, bukan individu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Tun Faisal menjelaskan prinsip sama lazimnya terpakai dalam mana-mana gabungan politik termasuk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN).
Beliau memberi contoh sekiranya PKR memenangi sesuatu kerusi pada pilihan raya lalu, maka dalam rundingan bersama parti komponen lain, kerusi tersebut akan terus dipertahankan sebagai kerusi PKR tanpa semestinya mengekalkan penyandang sedia ada sebagai calon.
Katanya, situasi sama juga berlaku dalam BN apabila sesuatu kerusi yang dimenangi UMNO akan terus dianggap sebagai kerusi parti itu walaupun calon yang dinamakan kemudian adalah individu lain.
Mengulas beberapa kerusi yang menjadi perhatian, Tun Faisal berkata kerusi seperti Tasik Gelugor, Machang dan Gerik kekal hak Bersatu walaupun penyandangnya sebelum ini tidak lagi bersama parti.
Menurut beliau, Ahli Parlimen Tasik Gelugor bukan ketua bahagian di kawasan itu, manakala wakil rakyat Machang dan Gerik pula tewas dalam pemilihan parti di peringkat bahagian.
“Selepas dipecat, mereka bukan lagi ahli Bersatu dan anggota PN,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa laporan sebuah portal berita sebelum ini didakwa menggunakan istilah yang tidak pernah disebut dalam kenyataannya.
Kenyataan Tun Faisal itu dilihat memperkukuh pendirian Bersatu untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenangi parti berkenaan dalam sebarang rundingan menjelang pilihan raya akan datang. – SuaraTV



