KUALA LUMPUR – Dalam sistem demokrasi, perubahan yang berkekalan memerlukan mandat jelas daripada rakyat dan pilihan raya umum adalah platform untuk menentukannya.
Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, dalam Sistem Westminster angka adalah penentu.
“Sabah mempunyai 25 kerusi, Sarawak 31, dan Labuan 1—jumlah 57 daripada 222 kerusi Parlimen. Dalam banyak keadaan, Kerajaan Persekutuan tidak dapat dibentuk tanpa sokongan ini, termasuk untuk mencapai majoriti dua pertiga.
“Kekuatan ini perlu digunakan secara strategik. Jumlah kerusi memberikan kuasa tawar-menawar. Tanpa leverage yang jelas, tuntutan mudah ditangguhkan. Dengan kekuatan ini, ia menjadi perkara utama dalam pembentukan kerajaan.
“Keutamaan mesti jelas: pelaksanaan penuh MA63, pengagihan hasil yang adil termasuk tuntutan 40%, autonomi pentadbiran yang lebih luas, dan pembangunan yang seimbang,” kata Salleh.
Jelas beliau, dua isu utama melibatkan Sabah dan Sarawak kini berada di mahkamah, berkaitan tafsiran Perlembagaan dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
“Mahkamah akan memberi kejelasan dari segi undang-undang, namun proses ini mengambil masa dan mungkin melalui beberapa peringkat rayuan sebelum keputusan muktamad dicapai.
“Menunggu keputusan mahkamah sahaja tidak mencukupi. Isu-isu ini perlu juga dibawa ke medan politik.
“Mahkamah menentukan hak, tetapi pelaksanaan bergantung kepada kehendak politik. Isu-isu ini mesti diputuskan oleh rakyat dan dijadikan komitmen jelas dalam manifesto pilihan raya,” tegas beliau dalam hantaran di Facebook pada Khamis.



