Kejatuhan harga minyak hanya sementara namun risiko lonjakan kekal – StanChart

KUALA LUMPUR – Harga tenaga global mencatatkan penurunan ketara susulan pengumuman persetujuan gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran, namun perkembangan itu dilihat tidak mencerminkan keadaan sebenar pasaran.

Minyak mentah Brent bagi penghantaran Jun dan West Texas Intermediate (WTI) untuk Mei masing-masing susut ke sekitar AS$90 setong, disusuli penurunan harga produk petroleum bertapis di pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, penganalisis menyifatkan kejatuhan itu sebagai sementara dan berisiko mencetuskan lonjakan semula dalam tempoh terdekat.

Menurut laporan Standard Chartered, pembetulan harga yang berlaku ketika ini mungkin terlalu mendadak berbanding asas sebenar bekalan dan permintaan pasaran.

“Kami menjangkakan harga akan melonjak pada sebarang laporan mengenai peningkatan ketegangan atau kemunculan semula retorik,” menurut penganalisis dalam laporan berkenaan yang disiarkan BH pada Khamis.

Sehubungan itu, unjuran harga purata minyak mentah Brent bagi suku kedua 2026 ditetapkan pada AS$98 setong, manakala WTI dijangka mencecah AS$92.50 setong, menandakan potensi kenaikan daripada paras semasa.

Penganalisis menegaskan pasaran tidak seharusnya terlalu optimis terhadap kesan gencatan senjata dua minggu itu kerana ia tidak memberi impak besar kepada pemulihan bekalan tenaga global.

Negara pengeluar di rantau Teluk dijangka tidak akan meningkatkan pengeluaran secara mendadak dalam tempoh singkat, berikutan risiko keselamatan dan ketidaktentuan geopolitik yang masih tinggi.

Selain itu, pemulihan rantaian bekalan turut berdepan pelbagai kekangan termasuk gangguan logistik, risiko keselamatan perairan, kenaikan premium insurans serta cabaran operasi di lapangan.

Laporan itu menjangkakan proses pemulihan bekalan global ke paras normal akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa bulan.

Dalam perkembangan berkaitan, krisis perkapalan turut memberi kesan kepada sektor tenaga lain, namun Gas Asli Cecair (LNG) dilihat berpotensi menjadi pengecualian awal dalam pemulihan laluan perdagangan.

Terdapat petunjuk bahawa kapal LNG mungkin menjadi antara yang terawal kembali menggunakan laluan strategik sebaik keadaan keselamatan disahkan pulih.

Ini penting memandangkan rantau Eropah dan Asia dijangka bersaing mendapatkan bekalan gas menjelang peningkatan permintaan pada musim panas.

Secara keseluruhan, penurunan harga tenaga ketika ini dilihat sebagai fenomena jangka pendek, dengan risiko kenaikan semula kekal tinggi selagi ketidaktentuan geopolitik dan gangguan bekalan belum diselesaikan sepenuhnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat