SOP ketat AJL35, artis positif Covid-19 wajib diganti

- Advertisement -

Shah Alam: Seramai 55 artis merangkumi finalis dan penghibur yang terbabit untuk Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) pada Ahad ini melakukan ujian calitan Covid-19 di Management and Science University (MSU), di sini, hari ini.

Ujian itu diwajibkan sebagai persiapan utama sebelum mereka dibenarkan memasuki Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk membuat persiapan daripada segi pementasan bermula Khamis ini.

Penerbit Eksekutif AJL 35, Nurhul Huda Khalid, berkata mana-mana artis yang didapati positif Covid-19 selepas ujian itu akan diminta mencari pengganti segera.

“Keputusan ujian itu dijangka akan diketahui dalam tempoh 48 jam atau lebih cepat. Jikalau artis didapati positif Covid-19, wajib diganti dengan artis lain.

“Ujian calitan ini adalah proses peringkat pertama untuk prosedur operasi standard (SOP) ketat kami tetapkan kepada semua yang terbabit dalam AJL35. Keadaan terkini artis adalah hal yang paling merisaukan.

“Justeru, kami perlu melakukan ujian itu hari ini untuk memastikan mereka benar-benar bebas daripada virus terbabit. Ini demi memastikan persiapan acara anugerah itu lancar,” katanya.

Antara yang kelihatan hadir pada ujian calitan itu termasuk Nabila Razali, Zizi Kirana, Hael Husaini, Awal Ashaari, Sherry Alhadad, Haziq Hussni, Ayie Floor88, Datuk Jamal Abdillah, Misha Omar, dan Dayang Nurfaizah.

Nurhul juga menjelaskan, kuota hanya enam orang di pentas pada AJL35 kali ini memberi cabaran tersendiri kepada finalis dan kru produksi. Bagaimanapun, menurutnya artis perlu terpaksa reda dengan kekangan itu demi SOP.

“Kita tahu persembahan malam kemuncak lazimnya meriah dengan penari, penyanyi latar, pemuzik sampingan dan sebagainya. Namun, hanya enam orang dibenarkan berada di pentas untuk sesebuah persembahan.

“Meskipun ada peserta bercadang mengetengahkan konsep sebegitu, finalis tiada pilihan kecuali menterjemahkan kemeriahan persembahan dengan mematuhi kuota itu,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat