Perisai rahsia stayc

- Advertisement -

MEMASUKI tahun ketiga ditubuhkan, kumpulan STAYC dari Korea Selatan di bawah agensi High Up Entertainment tampak bersungguh melakar nama dengan pelbagai pencapaian.

Mereka juga bertuah kerana jumlah pengikut semakin ramai ketika ini.

Muzik kumpulan yang dianggotai Isa, J, Seeun, Sieun, Sumin dan Yoon ini mudah menjadi siulan ramai.

Beberapa lagu popular antaranya Beautiful Monster begitu tinggi putarannya di TikTok misalnya.

Dalam tempoh itu, mereka bekerja keras demi membuktikan bahawa STAYC mampu bersinar dan pergi jauh sebagaimana artis K-Pop popular lain.

Usaha itu juga takkan berhenti kerana masih banyak mereka ingin kecapi.

Dalam soal jawab bersama RAP baru-baru ini, mereka berkata, semangat berpasukan dan setia kawan menjadi perisai bagi memastikan karier berkembang pesat.

Mereka enggan sekadar bertahan singkat dalam industri hiburan.

Sumin yang juga ketua kumpulan berkata, sejak diperkenalkan dua tahun lalu, banyak yang mereka pelajari dan berharap ia akan berterusan untuk bertahun-tahun lagi.

“Kami berenam memang berazam untuk terus akrab bersama selamanya. Tidak kira sampai bila-bila dan sejauh mana kami boleh terbang.

 

TERHARU sambutan peminat di Malaysia sangat luar biasa.
TERHARU sambutan peminat di Malaysia sangat luar biasa.

 

“Oleh kerana kami memang sangat menjaga dan melindungi sesama rakan anggota, kami berjanji akan terus berusaha sejauh mana kami termampu,” katanya.

Bagi mereka, setiap perkara ditempuhi selama lebih dua tahun gerakkan STAYC adalah butiran penting untuk disemat dalam hati. Tiada satu pun mereka ketepikan kerana ia pastinya kenangan tak ternilai untuk disimpan kelak.

“Segala kenangan yang kami cipta bersama mengadakan persembahan, sesi berjumpa peminat dan jelajah dunia semestinya merapatkan lagi ikatan kami. Setia kawan itulah jadi kekuatan kami,” kata Sieun.

Meninggalkan legasi terhormat menjadi misi utama STAYC sekarang. Bukan sekadar ingin tampilkan muzik berkualiti, sebaliknya reputasi serta mengukuhkan karier adalah kewajipan mereka.

Ini kerana mereka juga mengidamkan suatu hari nanti menjadi inspirasi kepada masyarakat. Sebagaimana dilakukan penghibur senior Girls’ Generation, mereka berharap dapat mencapai tahap kejayaan dilakar kumpulan itu pada masa hadapan.

“Kami sangat menyanjungi Girls’ Generation. Sebab utama adalah kerana semangat berpasukan serta bagaimana mereka bertahan sangat lama dalam industri muzik.

Mereka juga sentiasa menyalurkan aura positif sesama mereka dalam kumpulan serta kepada orang ramai. Kami nak sangat bertahan lama seperti yang berjaya dilakukan mereka,” kata J pula.

Tidak berlengah rancakkan tahun 2023, STAYC juga cukup teruja dengan ‘comeback’ terbaru. Turut melancarkan lagu baharu berjudul Poppy, arkib muzik mereka semakin bertambah kini.

Justeru, mereka menyimpan cita-cita tinggi agar dapat merealisasikan konsert solo besar pula selepas ini. Ini kerana, mereka ingin merasai kemeriahan berada di pentas lebih gah depan peminat sendiri pula.

“Konsep ‘comeback’yang kami bawakan kali ini adalah yang peminat sangat ternanti-nantikan. Dan kerana ia permulaan untuk tahun ini, kami harap dapat membawa harapan dan doa peminat tersayang kami.

“Antara impian besar tahun ini juga adalah untuk mengadakan konsert besar sulung kami. Begitu juga siri jelajah dunia. Semestinya kami sangat teringin,” kata Isa pula.

 

IDAM adakan konsert sendiri berskala besar pada tahun ini.
IDAM adakan konsert sendiri berskala besar pada tahun ini.

 

Terharu sambutan meriah peminat Malaysia

Kumpulan itu bertandang ke sini baru-baru ini buat pertama kali bagi menjayakan acara STAYC 1st Fan Meeting in Kuala Lumpur. Bertempat di Zepp, lebih 1,800 peminat hadir bertemu mereka secara lebih dekat.

Menurut Seeun, mereka memang sangat tersentuh dengan sambutan peminat di Malaysia. Mereka ditatang dengan begitu luar biasa dan teramat seronok sepanjang acara itu.

“Peluang menjejak kaki ke Malaysia sebenarnya tak pernah terlintas pun dalam fikiran kami. Dan saya merasa sangat gembira akhirnya dapat juga pergi ke Kuala Lumpur.

“Sebaik sampai ke sini, segalanya sangat cantik. Apatah lagi sambutan luar biasa peminat di sini. Selalunya kami cuma bertukar kata di media sosial, tapi bila jumpa depan mata rasa lebih bermakna,” katanya.

Sewaktu sesi ‘soundcheck’, 100 peminat bertuah berpeluang melihat STAYC terlebih dulu. Ini diikuti sesi beramah mesra dan menandatangani cakera padat (CD) album mereka berjudul We Need Love.

Sewaktu acara sebenar, jeritan peminat bergema sebaik melihat kelibat kumpulan itu muncul tepat jam 7 malam. Sejurus muncul, mereka terus persembahkan dua lagu iaitu So Bad dan Beautiful Monster.

Selepas berehat singkat, mereka kemudian beralih kepada acara soal jawab bersama hos. Soalan dijawab adalah hasil kutipan daripada pertanyaan peminat yang dilekat pada papan tulis.

Tidak ketinggalan, anggotanya juga sempat beradu dalam dua pusingan permainan ringkas dianjurkan. Masing-masing tampak berseronok dan aksi mereka mencuit hati setiap penonton yang hadir.

Antara lagu lain yang turut dipersembahkan adalah Run2u, So What, dan I’ll Be There. Paling mencuri tumpuan adalah sewaktu mereka hiburkan peminat dengan lagu Rasa Sayang yang dipelajari khas demi acara itu.

Sebagai penutup, STAYC tampil bertenaga mendendangkan lagu ASAP sebelum dikejutkan dengan kompilasi video penuh emosi perjalanan mereka. Video terbabit disediakan khas peminat sebagai tanda sayang terhadap kumpulan itu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat