Pengerusi PN mesti ulama, penanda aras Allahyarham Nik Aziz, Hadi Awang – Zuhdi

KUALA LUMPUR-Penanda aras Pas bagi seseorang Ketua Kerajaan adalah seperti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, setidaknya bakal Pengerusi PN yang dinamakan oleh Pas adalah Abdul Hadi atau paling tidak Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tegas Zuhdi, menamakan tokoh lain sebagai Pengerusi PN mewakili Pas, adalah satu percanggahan dengan prinsip politik Pas.

“Sekiranya Majlis Tertinggi PN yang turut dianggotai oleh Gerakan dan MIPP, bersedia menerima Pas sebagai pengerusi, maka sosoknya adalah Presiden Pas.

“Sememangnya Muktamar Pas baru-baru ini telah merumuskan satu resolusi, Pas perlu memimpin PN. Bagaimanapun, ramai yang terlupa bahawa apabila Pas yang memimpin PN atau suatu hari kelak mengetuai kerajaan, maka pemimpin yang mewakili Pas itu seharusnya dari golongan ulama. Ia selari dengan prinsip kepimpinan ulama.

“Resolusi Muktamar Pas, bahawa Pas perlu memimpin PN harus dibaca sekali degan resolusi Muktamar Pas berkaitan Kepimpinan Ulama, yang telah dirumuskan sejak awal 1980-an lagi. Selepas itu, hampir setiap kali Muktamar Pas akan ada penegasan-penegasan untuk memperkasakan kepimpinan ulama,” ujarnya.

Menurut beliau, gagasan kepimpinan ulama yang didukung oleh Pas bukan sahaja merupakan satu dasar umum tentang kepimpinan di dalam Fiqh Islami, tetapi juga sudah menjadi prinsip politik yang diperjuangkan oleh Pas.

“Mereka yang enggan menerima prinsip politik PAS ini, akhirnya akan keluar parti seperti yang pernah dilakukan oleh gerombolan Amanah.

“Secara konvensyen, sesiapa yang menjadi Pengerusi PN, maka beliaulah bakal PM sekiranya PN menang kelak.

“Jika Pengerusi PN itu daripada Pas, maka Malaysia kelak akan mendapat PM dari kalangan golongan ulama.

“Para pendukung Pas yang sudah lama berkecimpung dengan aktivisme Pas, hasrat ini sudah tertanam lama.

“Justeru, penanda aras Pas bagi seseorang Ketua Kerajaan adalah seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

“Menurut Pas, gaya hidup, hubungan sosial, watak pemimpin dan yang lebih utamanya gagasan kepemimpinan seseorang MB atau kelaknya seorang PM, mestilah seperti dua sosok ulama ini,” katanya.

Tegas Zuhdi lagi, sekiranya benar, Pas mahu melaksanakan resolusi Muktamar Pas baru-baru ini, tidak boleh tidak bakal Pengerusi PN yang dinamakan oleh Pas adalah Abdul Hadi atau paling tidak Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ujar beliau, menamakan tokoh lain sebagai Pengerusi PN mewakili Pas, adalah satu percanggahan dengan prinsip politik Pas.

“Bagaimanapun, sesiapa yang bakal memimpin PN adalah terserah kepada keputusan MT gabungan politik tersebut.

” Yang paling penting, kemelut kepengerusian PN tidak wajar menjadi punca PN berpecah. Semua pihak harus menerima, setakat ini hanya PN yang boleh menumbangkan PH,” kata Zuhdi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat