Hutang negara dijangka naik 61.8 peratus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Hutang Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat lebih tinggi kepada 61.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding jangkaan tahun lalu iaitu 61.0 peratus, peningkatan ini disebabkan langkah satu lagi belanjawan pengembangan.

Kenanga Investment Bank Bhd berkata, meskipun had statutori hutang dijangka kekal di bawah 65 peratus namun ia menjangkakan terbitan bon kasar kerajaan adalah lebih tinggi iaitu RM178 bilion pada 2023.

“Kerajaan baharu dijangka terus menggunakan dasar fiskal mengembang yang sederhana, dengan meneruskan pelbagai subsidi dan penyambungan semula projek pembangunan bagi mengemudi negara mendepani kelembapan pertumbuhan global.

“Di sebalik peningkatan dalam pengurusan fiskal, serta hasil minyak dan gas yang meningkat, kami mengunjurkan defisit fiskal mengecil kepada 5.0 peratus daripada KDNK untuk 2023 atau RM97 bilion berbanding jangkaan pada 5.7 peratus pada 2022,” katanya dalam nota penyelidikan lapor BH.

Setakat Disember tahun lalu, kerajaan telah menaikkan hutang berkanun baharu berjumlah RM110.2 bilion pada 2022 kepada jumlah keseluruhan RM1.03 trilion daripada terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).

“Dengan itu, berdasarkan anggaran kami, ini hanya menyumbang 57.5 peratus daripada KDNK pada 2022, yang jauh di bawah had statutori 65 peratus.

“Sudah tentu, ini juga bermakna kerajaan mempunyai ruang pinjaman fiskal yang ketara sebanyak RM135.3 bilion sebelum melepasi had siling statutori hutang dan kerajaan dijangka terus berbuat demikian pada tahun ini sekiranya had berkanun yang lebih tinggi itu diperbaharui,” katanya.

Kenanga Investment Bank berkata, memandangkan unjuran defisit fiskal kami pada 2023 dan penerusan pendirian fiskal yang mengembang, kerajaan mungkin memerlukan lebih banyak pengeluaran hutang untuk membiayai belanjawan dan perbelanjaan, terutamanya jika pembaharuan cukai ditangguhkan ke separuh kedua tahun ini.

“Sehubungan itu, kami menganggarkan terbitan bon kasar kerajaan bernilai RM178 bilion tahun ini berbanding RM171.5 bilion tahun lalu, dengan mengambil kira ramalan defisit RM97 bilion kami, sekuriti MGS, GII dan SPK bernilai RM80.9 bilion yang dijadualkan matang dan bilangan lelongan yang dirancang lebih tinggi sedikit pada 2023

“Daripada 37 lelongan yang dijadualkan tahun ini, sejumlah 19 daripadanya dijangka pada separuh pertama 2023,” katanya.

Menyentuh mengenai kedudukan fiskal kerajaan, bank pelaburan itu berpendapat konsolidasi fiskal mungkin tidak dilaksanakan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan 24 Februari depan.

Kenanga Investment Bank mengharapkan Kerajaan Persekutuan meneruskan pelbagai subsidi untuk rakyat, terutamanya untuk melindungi daripada kesan kenaikan kos sara hidup.

“Sehingga pilihan raya negeri selesai dan dijamin dengan baik pada 2023, sebarang peralihan dasar ke arah pengetatan atau penyatuan fiskal tidak mungkin berlaku.

“Memandangkan perbelanjaan mengurus akan terus meningkat, Petronas akan diminta sekali lagi untuk menyumbang dividen khas berjumlah sekurang-kurangnya RM30 bilion.

“Namun begitu, kami percaya kerajaan akhirnya akan memulakan reformasi fiskal dalam jangka sederhana, terutamanya dalam bidang percukaian untuk mengukuhkan kedudukan fiskalnya. Buat masa ini, kami menjangkakan akan ada had untuk pengembangan fiskal berikutan defisit fiskal dan peningkatan hutang,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat