Keterangan ibu dan bapa Zayn Rayyan direkod kali kedua

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis sudah merekod semula keterangan ibu dan bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin bagi membantu siasatan pembunuhan anak malang terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, ketika mengesahkan tindakan itu, berkata keterangan kedua-duanya diambil malam tadi dan mungkin akan diambil sekali lagi.

Menurutnya, keterangan jiran dan saksi juga akan diambil dalam tempoh masa terdekat bagi melengkapkan siasatan.

“Kita selesai ambil keterangan mereka kali kedua malam tadi dan akan lihat keperluan sekiranya akan ambil lagi maklumat-maklumat lain,” katanya kepada media, pada Jumaat.

Beliau berkata, proses pencarian bahan bukti masih giat dilakukan di lokasi kejadian sejak malam tadi dalam membantu siasatan pembunuhan Zayn Rayyan, 6 tahun.

Hari ini, polis meneruskan usaha mengumpul bukti yang ada dalam usaha menjejak pembunuh Zayn Rayyan di sekitar kawasan mayatnya ditemukan.

Mengulas tindakan itu, Mohd Fakhrudin berkata, siasatan lanjut di tempat kejadian membabitkan pelbagai elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Unit Forensik, Unit Anjing Pengesan (K9) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kita juga memohon orang ramai terutama penduduk setempat yang mempunyai sebarang maklumat untuk membantu siasatan polis, walau sekecil-kecil maklumat diharap dapat membantu siasatan kita.

“Tumpuan siasatan kita ialah di keseluruhan kawasan perumahan ini yang mengandungi 18 blok apartmen terdiri 2,484 kediaman serta kedai dengan keluasan kawasan kira-kira lapan hektar serta kawasan anak sungai di mana mayat mangsa ditemui,” lapor BH.

Katanya, selain siasatan di tempat kejadian, polis juga memfokus untuk menganalisis segala keterangan yang dirakam daripada saksi dan maklumat yang diterima untuk mengesan suspek.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, semalam memaklumkan polis akan merakam semula keterangan ibu bapa Zayn Rayyan, selepas bedah siasat menunjukkan kanak-kanak autisme berusia 6 tahun itu mati akibat dibunuh.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

Selain itu, katanya polis Selangor turut mewujudkan ‘task force’ (pasukan khas) fokus untuk membantu dalam siasatan kes ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat