Pemilihan U Mobile kekal, tak disemak semula – Fahmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi tidak berhasrat untuk menyemak semula pemilihan U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile) sebagai penyedia rangkaian 5G Kedua Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, hal ini kerana dalam konteks pemilihan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), ia dilakukan secara bebas oleh pasukan teknikal dalam suruhanjaya itu.

Jelas Fahmi lagi, ia juga diputuskan secara sebulat suara oleh ahli-ahli suruhanjaya di mana kerajaan tidak terlibat dan masuk campur dalam pemilihan itu.

“Saya perlu peringatkan ini bukan kontrak, ini bukan lesen. Kalau kita lihat dalam sidang Parlimen, bila saya menjawab pada tempoh hari sewaktu sesi soal jawab menteri, saya dapati kebiasaannya ahli-ahli Parlimen akan mengambil peluang untuk bertanya lanjut.

“Ada yang membangkitkan soalan dan sekiranya ada dalam kalangan mereka yang ingin mendapat maklumat tambahan, saya sedia untuk memberikan,” jelas Fahmi.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian pada sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Beliau ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula pemilihan U Mobile selepas menerima beberapa kritikan daripada pihak-pihak tertentu selepas pengumuman dibuat.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, selepas ini, MCMC akan memanggil pihak U Mobile untuk mengadakan perbincangan.

“Kita semua sedia maklum, U Mobile sehari selepas pengumuman oleh MCMC telah memaklumkan mereka bersedia untuk bekerjasama dengan sejumlah rakan-rakan strategik sama ada dalam kalangan syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih dan sebagainya.

“Jadi kita tunggu pertemuan itu dulu, pihak MCMC akan mendapat maklum balas daripada pihak U Mobile, apakah perancangan mereka, perbincangan mereka dan mungkin selepas itu akan ada makluman susulan,” ujar beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat