Hillary Ang dan Man Kidal: gabungan gitaris legenda di konsert “The Real Cromok”

- Advertisement -

Dunia muzik heavy metal Malaysia bakal mencatatkan momen ikonik pada 7 Disember ini, apabila dua nama besar gitar tempatan, Hillary Ang dan Man Kidal, bersatu di pentas buat pertama kalinya dalam “The Real Cromok” di Zepp Kuala Lumpur. Dikenali sebagai dua gitaris yang pernah memberikan sentuhan tersendiri kepada Cromok, gandingan Hillary dan Man dalam konsert kali ini bukan sekadar satu persembahan biasa. Ia adalah pertemuan sejarah, yang menyatukan dua gitaris yang masing-masing mempunyai legasi dan keunikan tersendiri dalam membawa Cromok ke arah evolusi muziknya.

Hillary Ang, yang menggantikan Karl pada 1999, kembali ke pentas bersama Cromok selepas 24 tahun. Karier Hillary bersama Cromok pernah melahirkan album-album penting seperti “Mean, Meaner, Meanest”, menonjolkan skil dan identiti muziknya yang membawa dimensi baru kepada band thrash metal ikonik ini. Penyertaan semula Hillary adalah ibarat ‘sirih pulang ke gagang,’ kata Karl, yang menyifatkan kehadiran Hillary sebagai pengubat kerinduan peminat lama. Penonton bakal menyaksikan bagaimana gaya agresif dan bertenaga Hillary menyuntik semula elemen nostalgia era 90-an, sebuah zaman di mana Cromok meraih populariti dengan karya seumpama “Image of Purity” dan “Journey”, yang masih diingati hingga kini.

Karl mengakui bahawa kolaborasi kali ini dengan Hillary membuka ruang untuk menghidupkan semula ‘chemistry’ lama dalam Cromok, sekali gus memberikan elemen segar pada muzik mereka. Buat peminat Cromok, ini adalah peluang langka untuk menyaksikan bagaimana pengalaman dan kematangan muzik Hillary akan memberi impak kepada gubahan gitar yang menyentuh zaman kegemilangan mereka.

Man Kidal, walaupun pernah merakamkan gitar solo ikonik untuk lagu “Misery” dalam album “Forever in Time” (1993), tidak pernah tampil secara langsung dengan Cromok. Dalam konsert kali ini, Man akan tampil buat pertama kalinya ‘live’ bersama band ini. Man Kidal, gitaris yang cukup terkenal dengan permainan yang lancar, jitu, dan sarat dengan elemen Melayu, membawa sentuhan unik yang berbeza dari gitaris heavy metal lain. Kehadirannya akan menambah warna kepada “The Real Cromok”, kerana peminat akhirnya akan menyaksikan ikon gitar ini membawakan lagunya secara langsung – sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah Cromok.

Menurut Karl, kombinasi pertamanya dengan Man Kidal akan menghasilkan persembahan ‘rare’ yang sukar ditandingi. Sebagai ikon gitar negara, Man Kidal mampu menyatukan gaya muzik thrash metal Cromok dengan elemen tradisional yang menjadi kekuatannya. Bagi Man, konsert ini adalah peluang memperlihatkan keserasian dan kesungguhan mereka dalam membawa muzik thrash metal ke arah yang lebih luas, di mana budaya dan thrash disatukan dalam persembahan yang pasti luar biasa.

Lebih menarik lagi, “The Real Cromok” akan menampilkan gandingan empat gitaris di atas satu pentas, iaitu Karl, Hillary Ang, Man Kidal, dan Shah Sidious. Ini bukan sekadar sebuah konsert reunion, tetapi pertembungan generasi dan gaya yang berbeza – sesuatu yang belum pernah dilakukan Cromok. Peminat akan dihidangkan dengan pertunjukan gitar yang unik, di mana setiap pemain membawa keunikan masing-masing, namun bersepadu dalam irama yang mantap.

Seperti kata Karl, “Nak tahu Cromok sebenar, ini dia.” Gabungan empat pemain gitar serentak bakal memukau penonton dengan ketelitian dan kepelbagaian gaya permainan, menonjolkan sisi Cromok yang paling sebenar dan jujur.

Ditambah dengan dedikasi khas untuk dua anggota asal Cromok yang telah tiada, iaitu Miji dan Din, konsert ini juga merangkumi segmen “tribute”, yang membawa penonton kembali ke era permulaan Cromok di University of Wollongong, Australia. Karl berjanji akan menyajikan 24 lagu, termasuk sebuah lagu baru yang akan dipersembahkan buat pertama kalinya secara live. Setiap detik konsert dua jam ini disusun untuk menyelami perjalanan muzik Cromok selama 36 tahun, penuh dengan kenangan dan nostalgia yang membekas di hati peminat.

Tiket untuk konsert ini dijual bermula pada harga RM168 (Berdiri – Early Bird) hingga RM888 bagi Royal Box yang termasuk sesi Meet & Greet dan cenderamata eksklusif. Pembelian boleh dilakukan di laman web www.therealcromok.com atau melalui hotline yang disediakan. Bagi peminat yang ingin memiliki produk rasmi Cromok, aplikasi MyArteez turut menawarkan pelbagai pilihan cenderamata termasuk baju-T dan hoodie eksklusif.

Konsert “The Real Cromok” adalah peluang keemasan untuk menyaksikan gabungan gitaris lagenda dalam sebuah persembahan yang dijangka akan melakar sejarah. Bagi peminat Cromok, inilah masa untuk merasai keaslian dan intensiti “The Real Cromok” yang akan terus menghuni ingatan mereka, membawa irama thrash metal tempatan ke pentas berprestij, dan sekali gus, mengangkat martabat muzik tempatan di mata dunia.

author avatar
Fendi Ghafar
Venni Viddi Vinchi
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat