Laporan Awal Siasatan Nahas Dua Helikopter Diketahui Dalam Tempoh 30 Hari

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan memberi jaminan siasatan punca nahas dua buah helikopter bertembung di Taman Melawati di ibu negara bakal diketahui dalam tempoh 30 hari.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menerusi kenyataan di sini berkata, laporan awal kes kemalangan itu disediakan pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara di kementeriannya.

Siasatan itu ujarnya, sudah pun bermula pada hari ini berdasarkan perkara 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan laporan awal perlu siap dalam masa sebulan.

“Tujuan utama penyiasatan untuk menentukan punca serta keadaan dengan matlamat bagi menyelamatkan nyawa dan mengelakkan insiden berlaku lagi pada masa depan,” jelas beliau.

Keputusan laporan penyiasatan berhubung nahas berkenaan tegas Ka Siong lagi, bukan bertujuan membuktikan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak yang terlibat dalam kes itu.

Sebaliknya, pasukan penyiasat hanya mengeluarkan syor penambahbaikan bagi keselamatan penerbangan awam dan hasil dapatan digunakan kerajaan untuk manfaat industri tersebut.

Ka Siong turut mengesahkan dua helikopter itu bertembung di udara semasa penerbangan latihan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor.

“Kemalangan berlaku di Bukit Melawati, Kuala Lumpur pada pukul 11.50 pagi melibatkan dua helikopter jenis G2CA bersama empat krew dengan dua mangsa meninggal dunia,” katanya.

Beliau juga memaklumkan Pusat Koordinasi Penyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur telah diaktifkan sejurus nahas udara itu bagi membantu operasi menyelamat oleh pelbagai agensi.

Bekas Tentera Laut, Leftenan Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon, 56, dan Mohd. Irfan Mohamed Rawi, 41, disahkan maut di lokasi kejadian manakala dua mangsa cedera menerima rawatan.

Mereka yang terselamat itu telah dikenal pasti sebagai juruterbang, Tan Chai Eian, 51, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66. -Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat