‘Murah & Mampu Milik’ Elon Musk Lancar Tesla Model Y Versi Murah

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Tesla memperkenalkan versi lebih mampu milik bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) terlarisnya, Model Y, dengan harga bermula AS$39,990 (RM188,000), sebagai langkah memulihkan jualan dan menangkis saingan sengit daripada pengeluar kenderaan elektrik (EV) global.

Menurut laporan Reuters, langkah itu hadir ketika syarikat milik Elon Musk berdepan penurunan jualan dan penguasaan pasaran yang semakin mengecil, khususnya di China dan Eropah.

Selama beberapa tahun, Musk menjanjikan pengeluaran EV untuk pasaran massa, namun tahun lalu beliau membatalkan rancangan membina model baharu berharga AS$25,000. Sebaliknya, beliau kini menumpukan kepada pengeluaran varian lebih murah bagi model sedia ada seperti Model Y dan Model 3.

Musk sebelum ini berkata kenderaan berkenaan akan dijual di bawah paras harga “utama” AS$30,000, termasuk insentif cukai EV di Amerika Syarikat. Namun, selepas kredit cukai bernilai AS$7,500 ditamatkan pada akhir bulan lalu, harga efektif meningkat — sekali gus mendorong lonjakan jualan suku tahunan kepada rekod tertinggi.

“Keinginan untuk membeli kereta ini sangat tinggi, cuma ramai tidak mempunyai wang mencukupi dalam akaun untuk membelinya. Jadi, semakin mampu milik kami jadikan kereta ini, semakin baik,” kata Musk dalam panggilan pendapatan suku kedua Tesla pada Julai lalu.

Tesla turut mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat hujung minggu lalu apabila menyiarkan dua klip pendek di platform X (dahulunya Twitter) — satu memaparkan lampu hadapan dalam gelap, dan satu lagi memperlihatkan roda berputar disusuli tarikh “10/7”, dipercayai merujuk pelancaran rasmi 7 Oktober.

Walaupun Musk sebelum ini berjanji pengeluaran bermula akhir Jun, Tesla mengesahkan hanya menghasilkan “unit awal” setakat Julai dan menjangka kenderaan itu boleh diperoleh pelanggan menjelang suku keempat tahun ini.

Syarikat itu kini beralih tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI) termasuk pembangunan robotaxi dan robot humanoid, sambil tetap berjanji melancarkan lebih banyak kenderaan mampu milik dalam barisan produknya.

Tesla juga dilaporkan sedang merancang varian lebih ringkas bagi Model 3 bersaiz pertengahan.

Menurut penganalisis, usaha menurunkan harga ini penting bagi membantu Tesla mencapai sasaran besar Elon Musk iaitu menghasilkan 20 juta kenderaan dalam tempoh 10 tahun, salah satu daripada beberapa penanda aras operasi dan penilaian yang dikaitkan dengan pakej bayaran gaji AS$1 trilion untuk ketua eksekutif itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat