KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan dua defendan lain akan mencabar dan membatalkan keseluruhan tindakan Datuk Dr Mashitah ini melalui perbicaraan penuh kelak.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, MHO dan dua defendan lain juga mengesahkan bahawa pada hari berikutnya laitu 4 Oktober 2024, mereka melalui peguamcara Tetuan Hisham & Partners, telah memfailkan ke Mahkamah dan menyerahkan kepada peguamcara Plaintif, Tetuan Akberdin & Co, sesalinan penuh Penyataan Pembelaan dan Tuntutan Balas kesemua Defendan-Defedan, di mana Tuntutan Balas itu adalah di atas kausa tindakan penyalahgunaan proses mahkamah oleh plaintif (Mashitah).
“Pada 28 Ogos 2024 dan 3 September 2024, MHO telah membuat sidang media berkenaan sejauh manakah keterlibatan beberapa individu rakyat Malaysia yang mempunyai kaitan dengan sebuah Syarikat Dongmei Group yang tidak asing lagi dilaporkan oleh media barat dan media Asia yang mengaitkan kumpulan Syarikat Dongmei Group ini dengan isu pemerdagangan manusia dan aktiviti jenayah haram yang lain. ‘
“Justeru, MHO telah membuat laporan berkenaan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah menerima secara baik kunjungan MHO untuk membuat laporan berkenaan dengan individu -individu tersebut.
“MHO juga telah memberi keterangan kepada Unit Antipermerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Polis Diraja Malaysia berkenaan perkara ini,” jelasnya dalam kenyataan media.
Namun begitu kata Hishamuddin, selepas sidang media MHO berkenaan, satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Mashitah pada 2 September 2024 yang menyatakan bahawa MHO telah kononnya mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap diri beliau berkenaan isu-isu berkaitan dengan Syarikat Dongmei Group tersebut.
Setelah itu katanya, Mashitah juga telah memfailkan satu tindakan saman pada 9 September 2024 di Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi peguamcara yang dilantik oleh beliau, Tetuan Akberdin & Co terhadap MHO, Datuk Hishamuddin (Setiausaha Agong MHO) dan Azirul Syafiq (defendan-defendan).
Selain itu, bersama-sama tindakan saman fitnah yang difailkan tersebut, Mashitah turut memfailkan satu Permohonan Injunksi Interim agar posting-posting yang dimuatnaik berkaitan perkara yang sama oleh MHO dan dua defendan yang lain adalah diturunkan sementara menunggu pelupusan penuh tindakan saman yang difailkan ini secara perbicaraan penuh kelak.
Rentetan daripada itu, pada 17 September 2024, MHO dan dua defendan yang lain telah dimaklumkan oleh peguamcara yang dilantik mereka iaitu Tetuan Hisham & Partners bahawa MHO dan dua defendan yang lain telah diarahkan untuk menurunkan posting-posting berkenaan sehingga pelupusan pendengaran Permohonan Injunksi Interim secara inter-parte (kedua-dua pihak).
“Pada 3 Oktober 2024 baru ini iaitu pada hari Khamis yang lalu, Permohonan Injunksi Interim secara inter-parte (kedua-dua pihak) telah dipanggil untuk pengurusan dan didengar di hadapan Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam, di mana kedua-dua pihak telah bersetuju secara bersesama bahawa posting-posting tersebut akan dibiarkan turun sementara menunggu pelupusan perbicaraan penuh tindakan saman fitnah yang difailkan oleh Mashitah berkenaan.
“Semasa pendengaran pengurusan tersebut, defendan- defendan adalah di wakili oleh Haniff Khatri dan Nur Zulaikha manakala bagi pihak plaintif, beliau diwakili oleh Datuk Akberdin, Meor Hafiz dan Fatin Izyan.
“Persetujuan ini telah dicapai di atas nasihat peguamcara MHO iaitu Haniff Khatri di atas dasar bahawa ianya adalah lebih teratur dan bagus untuk membangkitkan bantahan yang perlu serta menjawab isu-isu yang dibangkitkan plaintif (Mashitah) berkaitan dakwaan fitnah itu secara meritnya pada perbicaraan penuh kelak.
“Ini juga adalah untuk menjimatkan kos dan masa kesemua pihak yang terlibat terutamanya masa pihak mahkamah. Apatah lagi mana-mana permohonan injunksi interim tidak melibatkan keputusan atas merit dakwaan atau tuntutan, yang cuma akan diputuskan di hujung perbicaraan penuh kelak.
“MHO dan dua defendan lain telah bersetuju dengan satu Perintah Injunksi Interim secara persetujuan tersebut berdasarkan kepada beberapa syarat yang telah juga dipersetujui secara bersama dengan pihak plaintif,” jelasnya.
Menurut Hishamuddin, pertamanya, perintah Injunksi Interim ini adalah dimasuki tanpa menjejaskan hak MHO dan dua defendan lain untuk mencabar dan membatalkan keseluruhan tindakan Mashitah ini melalui perbicaraan penuh kelak.
“Keduanya, MHO dan dua defendan yang lain serta plaintif telah bersetuju bahawa akan ditetapkan satu tarikh perbicaraan awal bagi tindakan ini menurut keselesaan dan kesesuaian Mahkamah yang Mulia.
“Seterusnya, Mashitah akan mempapaskan MHO dan dua defendan yang lain dengan ganti rugi seperti yang ditaksirkan dan dianugerahkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kepada MHO dan defendan lain sekiranya Perintah Injunksi Interim secara persetujuan itu adalah dibatalkan/diakaskan selepas pelupusan perbicaraan penuh kelak,” ujarnya.
Selain itu, MHO dan dua defendan lain juga mengesahkan bahawa pada 4 Oktober 2024, mereka melalui peguamcara Tetuan Hisham & Partners, telah memfailkan ke Mahkamah dan menyerahkan kepada peguamcara Plaintif, Tetuan Akberdin & Co, sesalinan penuh Penyataan Pembelaan dan Tuntutan Balas kesemua Defendan-Defedan, di mana Tuntutan Balas itu adalah di atas kausa tindakan penyalahgunaan proses Mahkamah oleh plaintif (Mashitah).
“Setakat ini, mahkamah juga telah menetapkan tarikh 25 November 2024 sebagai tarikh pengurusan lanjut tindakan ini dan pemberian arahan-arahan lain mahkamah ke arah penetapan tarikh perbicaraan penuh kelak, dan pihak awam akan dimaklumkan melalui media, dari semasa ke semasa,” katanya.
Justeru kata Hishamuddin lagi, sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan yang sentiasa melakukan aktiviti dan bantuan kemanusiaan kepada individu di Malaysia secara tekun dan secara khususnya aktiviti menyelamatkan individu-individu yang telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia, walaupun timbul pelbagai halangan dan aral yang mendatang, MHO akan terus memperjuangkan isu-isu ini kerana perkara dan/atau permasalahan yang telah berlaku dan berbangkit ini akan menjadi penyemarak usaha berterusan untuk memberi bantuan kepada mana-mana individu rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan dan pertolongan daripada MHO.