KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di tempat ke-15 senarai 500 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia.
Perdana menteri turut disenaraikan di tempat kesembilan kategori pemimpin dan ahli politik.
The Muslim 500 untuk edisi 2025 diterbitkan Pusat Kajian Strategik Islam Diraja, sebuah pusat kajian bebas bernaung bersama Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt berpangkalan di Amman, Jordan.
The Muslim 500 turut menyenaraikan Raja Jordan, Raja Abdullah di tempat pertama diikuti Ulama dan Pengarah Dar Al Mustafay, Tarim Yaman Sheikh Al-Habib Umar bin Hafiz; Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Pemimpin Tinggi Iran, Ayatollah Sayyid Ali Khamenei dan Raja Arab Saudi, Raja Salman.
Presiden Indonesia baharu, Prabowo Subianto dan Pengerusi Nahdlatul Ulama, Yahya Cholil Staquf di tempat ke-18 dan 19.
Menurut The Muslim 500, Anwar mencipta kemuncak perjalanan politiknya menjangkau tiga dekad apabila dilantik perdana menteri ke-10 pada November 2022.
Ia menekankan kelantangan Anwar memperjuangkan hak rakyat Palestin dengan menentang kependudukan haram Israel, di mana syarikat gergasi teknologi, Meta menurunkan hantarannya berhubung pemimpin Palestin dibunuh, Ismail Haniyeh.
“Pertemuan beliau dengan pegawai Hamas (termasuk Ismail) mendapat kritikan Amerika Syarikat.
Catatan media sosialnya menyampaikan ucapan takziah selepas pembunuhan Ismail Haniyeh diturunkan, mendorongnya untuk menyelar Meta; ‘Biar ini menjadi mesej yang jelas dan tidak berbelah bahagi kepada Meta: hentikan sikap pengecut ini dan berhenti bertindak sebagai instrumen Zionis Israel yang menindas’, katanya menurut Harian Metro.