Pas yakin ketentuan syurga dan neraka adalah di tangan Allah – Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas terus beristiqamah sejak para ulama dan pemimpin Islam membina bahtera ini. Oleh itu, ahli Pas diwajibkan wala’ kepada Allah dan Rasul, serta para pemimpin yang setia kepada tujuan Pas ditubuhkan bagi melakukan perjalanan ‘road map’ mengikut ketetapan Allah dengan beristiqamah.

Menurut Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pas berkeyakinan bahawa ketentuan syurga dan neraka adalah di tangan Allah, sekiranya kita melaksanakan segala arahan dan perintahnya, termasuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

“Pas adalah bahtera yang bersifat jemaah atau parti yang diwajibkan melaksanakan perintah Allah dan menyahut seruan-Nya kerana telah ditetapkan janji-Nya.

“Pas sedia bermuzakarah dengan ilmu dan berakhlak mencari kebenaran dengan sesiapa sahaja, serta berwawasan dunia sehingga akhirat.

“Selain itu, Pas adalah bahtera perjalanan yang wajib diadakan. Kami percaya kepada bahtera ini dan kompasnya kerana percaya kepada janji Allah dengan syarat-syaratnya, yang tidak sama dengan ramalan semua manusia sama ada dalam kalangan ahli akademik, ahli politik, mahupun mereka yang sekadar berselera dengan politik atau benci akan politik,” katanya.

Hadi menegaskan, ramai orang yang tidak bersedia kerana tidak tertahan banyak ujiannya dan banyak bisikan syaitan yang meragukan dengan berbagai-bagai dalih menolak, bukannya dalil.

“Allah berfirman supaya mengambil teladan daripada para anbiya’ yang percaya kepada janji syurga, bukan percaya kepada ahli falsafah dan pemikir yang tidak beriman yang sangat dibanggakan seperti Mahatma Gandhi, Nelson Mandela dan sebagainya

“Kita sedang menyaksikan kegagalan penyelesaian ideologi ciptaan manusia yang diikuti oleh negara-negara Islam selepas mencapai kemerdekaan.

“Akibatnya, negara-negara ini terus terikat dengan negara-negara penjajah walaupun sudah merdeka dan diletakkan dalam senarai negara-negara sedang membangun. Hakikatnya, negara-negara Islam hanya menumpang, bukan bangkit dengan kekuatan sendiri,” ujar beliau.

Justeru Hadi menyebut bahawa Rasulullah SAW telah bangkit bersama para sahabatnya dengan menyatukan bangsa Arab bersama Islam yang disatukan dengan pelaksanaan Islam. Arab yang berpecah dengan jahiliahnya yang keras boleh disatukan hatinya dengan mendaulatkan Islam.

“Baginda juga berjaya mewujudkan perpaduan di negara Madinah yang diikat dengan Islam, bermula dengan Arab Muhajirin dari Makkah, seterusnya Ansar yang terdiri daripada kalangan Aus dan Khazraj di Madinah yang disatukan, kemudian dikuti penyertaan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Oleh sebab itu, lebih mudah untuk menyatukan Melayu Islam supaya meninggalkan penyelesaian ideologi atau Islam yang terikat dengan ideologi kepada Islam yang sempurna dengan makna al-din daripada Perlembagaan yang telah sedia ada.

“Seterusnya, membuang peruntukan yang ditetapkan oleh penjajah dengan meletakkan ketegasan Islam sebagai hukum tertinggi sehingga menjadi aqidah negara. Pada masa yang sama, semua yang bercanggah dengan Islam hendaklah dibatalkan.

“Inilah yang ditegaskan dalam Perlembagaan Pas. Maka, Pas membatalkan kerjasama dengan semua parti yang tidak beristiqamah dengan Islam sebagai al-din.

“Inilah sempadan kerjasama Pas dengan semua pihak bagi mencapai janji Allah kepada sesiapa yang menegakkan Islam setinggi-tingginya,” tegasnya.

Ujar Hadi lagi, kebenaran adalah daripada Allah dan Rasul secara mutlak. Adapun yang lain mestilah tidak berlawanan dengan Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnah).

“Al-Quran merupakan kitab mukjizat daripada Allah Yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan segala kelemahan. Adapun Rasulullah SAW pula ialah manusia terbaik pilihan Allah yang dikawal dengan wahyu.

“Inilah pegangan para ulama yang muktabar pada zaman dahulu dalam semua masalah, khususnya para imam mazhab yang berguru sesama mereka. Mereka bersatu dalam perkara dasar dan rukun yang melibatkan al-din, serta bertasamuh apabila ada perbezaan pendapat dalam perkara cabang.

“Umat Islam diwajibkan bersatu dan diharamkan berkhilaf, khususnya dalam perkara rukun dan dasar iman (akidah), Islam (syariat) dan ihsan (akhlak). Begitu juga perkara yang menjadi fitrah yang ditetapkan dalam maqasid al-syari‘ah (hikmah dan tujuan syariat Allah) bagi kebaikan manusia yang wajib dipelihara, iaitu agama, nyawa, akal, zuriat, maruah dan harta. Semua aspek ini wajib dijaga mengikut sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah Pencipta alam Yang Maha Mengetahui, Maha Adil, Maha Pemurah dan Maha Bijaksana.

“Maka, dinyatakan sempadan halal dan haram, amalan wajib, sunat, harus dan makruh. Semua perkara yang halal dan wajib akan membawa kebaikan, manakala semua yang haram pula membawa keburukan dan kemusnahan kepada diri, keluarga, masyarakat dan alam sekeliling yang merosakkan kehidupan manusia.

“Adapun dalam perkara cabang agama yang bukan rukun dan dasar, dikecualikan khilaf dan perbezaan mazhab. Termasuk pengikut mazhab yang berada dalam keadaan jahil dan taasub kepada mazhabnya sahaja. Perbuatan ini boleh dimaafkan selagi masih berpegang kepada rukun dan dasar agamanya, tetapi wajib memberi kefahaman yang betul kepadanya. Hal ini disebabkan hubungan persaudaraan Islam wajib dipelihara,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat