Payslip kembali ‘berlari’

- Advertisement -

Pernah dilabelkan sebagai XPDC Junior, kumpulan Payslip yang muncul dengan EP pada 2014 mencatat beberapa kejayaan dalam karier muzik mereka.

Malah, Payslip menarik perhatian syarikat perkhidmatan muzik digital terkemuka Sweden, Spotify apabila menjadi band pertama Malaysia yang mendapat perkhidmatan eksklusif ‘pre-stream’ dan melancarkan album sulung berjudul ‘Payslip’ di Spotify pada November 2014.

Seterusnya pada 2016, mereka menjadi pilihan Nordia West, wakil Atlantic Records iaitu antara syarikat rakaman terbesar di Amerika Syarikat bagi menyampaikan lagu tema filem animasi Angry Birds berjudul Wonderful Life (Mi Oh My) bersama Matoma, seorang deejay terkenal dari Norway.

Bagaimanapun, anggota Payslip mengambil keputusan berehat seketika daripada industri seni untuk memberi tumpuan pada pelajaran mereka di universiti.

Payslip yang kini bernaung di bawah label Seventeen Eleven Music secara rasmi dianggotai oleh Akeem, 23, selaku penyanyi, Dinie, 25, (gitar), Jimmy, 24, (bass), Farez, 25, (keyboard) dan Wan, 23, (drum).

Pemain drum, Wan berkata, dia dan Akeem sekarang mengikuti jurusan muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), manakala Jimmy (bass) pula sambung belajar jurusan teknologi muzik di Management & Science University (MSU) Shah Alam.

 

 

“Ketika belajar di UiTM, kami bertemu Farez (keyboard) dan Dinie (gitar) dan dari situ mula perancangan untuk buat ‘comeback’ difikirkan selepas empat tahun menyepi.

“Alhamdulillah, nampaknya tahun ini ada rezeki kami kembali dengan single terbaharu berjudul Berlari ciptaan bersama oleh kami semua,” katanya.

Payslip yang tampil mengetengahkan genre pop rock, alternatif rock dan post-Brit pop dalam karya lagu mereka, tidak mahu lagi terus dibandingkan atau dibayangi nama XPDC.

 

 

“Mereka (XPDC) adalah legenda dalam industi muzik tanah air, sedangkan kami baharu sahaja mahu bermula dengan ‘ekspedisi’ sendiri.

“Kami harap lagu Berlari mampu dapat sambutan positif daripada pendengar dan menjadikannya sebagai pencetus semangat untuk mencapai cita-cita dan impian yang kami idamkan selama ini,” katanya.

 

 

Lagu Berlari kini boleh distrim menerusi platform digital popular seperti Spotify, Apple Music dan lain-lain.

Sementara itu, muzik videonya juga sudah boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat