Aminuddin Pecat Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan

- Advertisement -

PETALING JAYA – Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan Yusof Tapar sah dipecat daripada jawatan itu selepas menerima surat pemecatan rasmi ditandatangani Pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Aminuddin Harun hari ini.

Dalam surat berkenaan dinyatakan kedudukan Yusof sebagai ketua penerangan tidak wajar dikekalkan kerana perkembangan mutakhir dan kenyataan media secara terbuka yang dibuat beliau pada 5 September lalu.

Mengesahkan perkara itu, Yusof ketika dihubungi berkata, beliau tidak terkejut dengan pemecatannya itu dan telah pun bersedia sejak awal.

“Saya sudah menjangkakan ini tindakan yang akan dikenakan terhadap saya. Saya tidak sedih pun.

“Malah saya gembira kerana selepas ini saya lebih bebas untuk bercakap dan saya tidak mahu bersekongkol dengan orang yang boleh saya katakan telah memalukan parti PKR,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Katanya, beliau tidak kisah dengan jawatan itu dan pernah empat kali meminta untuk dipecat sebelum ini, kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran Aminuddin dalam parti.

Beliau berkata, tindakan pemecatannya selepas membuat kenyataan media sebelum ini menunjukkan budaya parti tidak boleh ditegur.

“Dulu mana-mana Ketua Cabang yang lantang bersuara akan digantung daripada parti. Tak setuju sikit kena gantung kena pecat.

“Bagi saya ia budaya tak sihat untuk parti yang akhirnya akan membuatkan ahli parti ‘fed up’ dan rugikan parti,” katanya.

Walaupun dipecat, kata Yusof, beliau tetap akan setia kepada parti dan akan terus bersuara jika ada yang dilihat tidak betul dalam parti.

Terdahulu, kepimpinan PKR Negeri Sembilan sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan terhadap pimpinan Aminuddin.

Mereka terdiri daripada empat Ketua Cabang PKR iaitu Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah; tiga Ketua Pemuda Cabang (Rembau, Rasah dan Port Dickson); dua Timbalan Ketua Cabang PKR (Seremban dan Rembau); Ketua Wanita PKR Negeri, Amni Idris; Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri, Rusnani Saring; Setiausaha Penerangan PKR Negeri, Madon Mislan; Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusuf Tapar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Yek Diew Ching dan bekas Ketua Jurulatih Jentera Pilihan Raya Negeri, Md Nordin Ismail.

Menurut kenyataan dikeluarkan secara bersama pada Ahad, Aminuddin itu tidak berusaha merancang mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) untuk terus kekal memerintah. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat