Tragedi Beirut: Malaysia Perlu Berjaga-Jaga

- Advertisement -

LEBIH 150 maut manakala 5,000 lagi cedera dalam tragedi letupan di pelabuhan Beirut, Lubnan pada Selasa lalu yang direkodkan bersamaan 4.5 magnitud gempa bumi. Ia dipercayai berpunca daripada kebakaran gudang yang menyimpan ammonium nitrat iaitu sejenis bahan kimia yang digunakan sebagai baja atau bahan mudah bakar.

Hampir 2,750 tan bahan kimia itu dikatakan disimpan dalam ruang tertutup, amat berisiko besar kepada kebakaran berkemungkinan berpunca daripada kecuaian manusia dengan sistem kawalan keselamatan dan urus tadbir yang lemah.

Berdasarkan artikel kajian saintifik dari data atau rekod 100 tahun menunjukkan kebanyakan bencana berasaskan ammonium nitrat disebabkan kecuaian dalam proses pembuatan, penyimpanan dan pengangkutan atau permindahan bahan mudah bakar.

IKTIBAR
Lima kejadian letupan ammonium nitrat telah tercatat dalam sejarah 100 tahun itu. Pada 2015, berlaku letupan gudang barang di Tianjin, China. Sebelum itu, tragedi sama berlaku di Ryongchon, Korea Utara akibat beberapa kenderaan yang membawa baja nitrogen mengandungi ammonium nitrat serta gerabak keretapi membawa cecair bahan api meletup di stesen keretapi Ryongchon pada 2004.

Pada 1947 pula berlaku tragedi di Teluk Galveston di Pelabuhan Bandar Texas akibat seputung rokok dibuang di atas kapal SS Grandcamp yang sedang mengangkut 2.3 tan ammonium nitrat.
Letupan Oppau di Jerman juga berlaku pada 1921 selain letupan Great Kent di Faversham, United Kingdom pada 1916 di sebuah kilang yang menyimpan 25 tan bahan letupan TNT dan 700 tan ammonium nitrat.

Menurut Pengarah Pusat Ketersediaan dan Pencegahan Bencana, Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khamarrul Azahari Razak, bencana berasaskan bahan kimia adalah sesuatu yang boleh dielakkan dengan penambahbaikan kepada sistem kawalan keselamatan, sistem urus tadbir dan sistem penyelengaraana atau pemantauan berterusan.

Malaysia boleh mengambil banyak iktibar bagi mengelak tragedi seumpama itu daripada berlaku di negara ini. Cadang beliau, hal ini boleh dibuat dengan penambahbaikan perancangan bandar dan zoning dengan jarak selamat antara tempat penyimpanan dan infrastruktur kritikal.

RESPONS
Selain itu katanya, sistem koordinasi setempat perlu dikukuhkan dan tindakbalas respons pelbagai agensi perlu lebih cekap jika berlaku bencana besar.

“Proses penyimpanan dan pemindahan bahan kimia berisiko terbakar perlu diurus dengan baik tanpa sebarang bentuk kecuaian. Sistem pemantauan yang lebih agresif perlu dilakukan ke atas tempat-tempat penyimpanan bahan-bahan mudah bakar yang mudah didapati termasuk ammonium nitrat dalam kuantiti yang besar,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Khamarrul turut menarik perhatian berhubung langkah sistem mitigasi atau pertahanan bersiri perlu dibentuk dalam mengurangkan risiko bencana. Ini termasuk proses pendidikan berterusan dan penerapan tentang bahaya bencana berasaskan bahan kimia perlu dipertingkatkan.

Bagaimanapun, Khammarul menyuarakan kebimbangan ammonium nitrat mudah dibeli dan boleh dimiliki dalam kalangan individu kerana harganya murah. Ia digunakan bagi tujuan pertanian kerana mudah serap air, mudah sampai ke akar dan mudah diuruskan.

Namun ia boleh mendatangkan bahaya jika dimiliki dalam kuantiti banyak dan disimpan dalam ruang tertutup, justeru memerlukan lesen.

Oleh itu, pihak berkuasa perlu membuat pemantauan berterusan selain mengenakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat oleh pengilang bagi mengelak kejadian tidak diingini. Pengurusan bahan mudah bakar ini memerlukan penggunaan teknologi yang lebih maju.

Malaysia perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengelak tragedi seumpama ini supaya tidak ada mana-mana pihak menyalahgunakan bahan kimia ini untuk tujuan penggunaan bahan letupan. – UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat