KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpuas hati hasil lawatan ke Turkiye dan percaya kedua-dua negara bakal membuka lembaran dimensi atas dasar dan pendekatan menang-menang.
Beliau malah yakin, dua buah negara Islam bersaudara ini mempunyai prospek yang sangat memberangsangkan hasil hubungan erat.
Perdana Menteri dalam kenyataan pada Jumaat memperincikan kata sepakat yang telah dicapai sepanjang lawatan Malaysia ke Republik Turkiye.
“Alhamdulillah, lawatan sulung saya ke Turkiye sebagai Perdana Menteri mencapai objektif dalam konteks memperkukuhkan hubungan kerjasama Malaysia-Turkiye yang menguntungkan kedua-dua negara.
“Dalam konteks hubungan dua hala, saya dan Presiden Erdogan bersetuju meningkatkan hubungan kerjasama dari perkongsian strategik yang dilancarkan pada 2014, ke perkongsian strategik komprehensif.
“Ini bermakna, skop kerjasama akan terus diperluaskan meliputi bidang-bidang baru yang menguntungkan kedua-dua negara,” katanya.
Jelasnya, antara peluang baharu yang akan diterokai, sekuriti makanan, pendidikan, komoditi, perbankan digital Islam, e-dagang, perkhidmatan kewangan, industri pertahanan, petroleum dan gas, dan tenaga boleh diperbaharui.
“Bermula hari pertama lawatan saya di Turkiye, saya telah mengadakan pertemuan bersama sembilan pemain-pemain utama industri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia dan Turkiye.
Untuk rekod Turkiye membabitkan TUBITAK, OYAK, Turkish Wealth Fund (TWF), GAMA Enerji, Tuyar, EMS MOBIL, FNSS, Istanbul Shipyard dan HAVELSAN manakala Malaysia melibatkan MIGHT, Khazanah, Boustead, TNB dan SilTerra.
Katanya, antara hasil yang dicapai ialah syarikat-syarikat Turkiye telah menyatakan minat untuk melabur di Malaysia; bekerjasama dalam pemindahan teknologi; berkolaborasi dalam perkongsian kepakaran.
“Dalam konteks kerjasama ekonomi di peringkat kerajaan-ke-kerajaan (G2G) pula, antara persefahaman yang telah dicapai meliputi, perluasan skop Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA). Meliputi bidang pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang, sebagai tambahan kepada perdagangan yang merupakan skop asal MTFTA; 95 peratus kemajuan telah dicapai dan perluasan skop MTFTA ini akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Perluasan skop MTFTA yang melibatkan e-dagang ini akan memudahkan akses dan memperluaskan pasaran untuk usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Malaysia. Perluasan skop MTFTA juga akan membuka peluang pelaburan berimpak tinggi dari Turkiye ke Malaysia. Ini akan mencipta peluang pekerjaan baharu. Dalam jangka masa panjang pula, ia juga akan meningkatkan kemahiran bernilai tinggi di Malaysia.
“Selain itu, menjadikan Malaysıa sebagai hab perdagangan dan pelaburan Türkiye di rantau Asia dengan memanfaatkan keanggotaan Malaysia di dalam RCEP, begitu juga dengan keanggotaan Malaysia di dalam CPTPP yang bakal dimuktamadkan kelak. Dalam konteks kerjasama ekonomi juga, saya akan memberi tumpuan dan keutamaan kepada kepentingan pelabur Malaysia di luar negara termasuk Turkiye,” ujarnya.
Bahkan katanya, semasa lawatan ini beliau telah membangkitkan beberapa isu mengenai pelabur Malaysia seperti MAHB dan TNB dalam pertemuan dengan TYT Presiden Erdogan.
“Dalam pertemuan saya dengan TYT Presiden Erdogan, antara perkara utama yang saya bangkitkan adalah sekuriti makanan. Dalam konteks ini, kami bersetuju supaya Malaysia dan Turkiye meningkatkan kerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi dan stabil di kedua-dua negara.
“Malaysia dan Turkiye meningkatkan perdagangan produk makanan; terus menjalinkan kerjasama yang meliputi perkongsian maklumat serta pengalaman dan memperkasakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor makanan.
“Meningkatkan keupayaan menghasilkan sumber makanan dan kelangsungan sekuriti makanan untuk berada pada tahap yang stabil dan juga meneroka peluang pelaburan berbalik (reverse investment) berkaitan produk makanan di Turkiye bagi memenuhi keperluan sekuriti makanan di Malaysia. Kita dapati bahawa banyak negara telah mengambil langkah sedemikian untuk menjamin sekuriti makanan negara masing-masing,” kata Ismail Sabri lagi.
Dalam pada itu, menurut beliau, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama beberapa universiti di Turkiye.
“Sukacita saya maklumkan bahawa Kerajaan Malaysıa melalui Malaysia Qualifications Agency (MQA) telah mengiktiraf ijazah daripada 208 universiti di Türkiye. Ia disambut baik oleh Presiden Erdogan dan Kerajaan Türkiye.
“Presiden Erdogan juga menyatakan komitmen Kerajaan Türkiye untuk menambah lagi tajaan atau biasiswa kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di negara ini,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyambut baik tawaran Presiden Erdogan untuk bekerjasama dalam pembangunan vaksin COVID-19, Turkovac buatan Turkiye.
“Saya akan meminta Kementerian Kesihatan untuk meneliti tawaran ini, selaras dengan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara yang telah saya lancarkan pada tahun lalu.
“Sebagaimana kita sedia maklum, kerajaan terus memperkasa Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan bertaraf dunia. Dengan kepakaran Malaysia dalam kesuburan in-vitro (IVF), kardiologi, onkologi, pergigian, pembedahan plastik dan beberapa bidang lain, Turkiye merupakan antara pasaran utama kita,” kata beliau.
Perdana Menteri juga merancang untuk pemodenan sistem pertahanan Malaysia secara berterusan dengan mengambilkira perkembangan geopolitik semasa.
“Skop kerjasama melangkaui pembelian aset dan peralatan ketenteraan semata-mata, sebaliknya melibatkan pelaburan dan pembuatan oleh pemain industri pertahanan antarabangsa di Malaysia; pendekatan ini akan menguntungkan kita dari segi pemindahan teknologi, kepakaran dan penciptaan peluang pekerjaan, serta penglibatan pemain-pemain industri tempatan dan sebagai langkah jangka panjang, kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia hab industri pertahanan moden di rantau ini,” ujarnya.
Menyentuh isu-isu serantau dan antarabangsa, katanya Malaysia dan Turkiye bersepakat untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin menamatkan kezaliman rejim Zionis dan merealısasıkan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Manakala, berhubung konflik di Ukraine, Malaysia menghargai usaha Presiden Erdogan untuk mencari jalan perdamaian bagi mengakhiri konflik tersebut.
“Kami berdua bersetuju agar semua pihak yang terlibat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan konflik yang menggugat keamanan sejagat,” jelas beliau.