Jualan Keluarga Malaysia skala besar mula tiga minggu lagi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Program Jualan Keluarga Malaysia pada skala besar dan menyeluruh dengan kaedah yang diperbaharui akan digerakkan di seluruh negara.

Ini adalah usaha kerajaan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup ekoran kenaikan harga barang.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata lebih banyak premis dan barang akan terlibat dalam program jualan yang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dalam tempoh tiga minggu lagi.

“Satu kaedah yang akan melibatkan kerjasama penuh beberapa premis, pasar raya, kedai terpilih dan bukan terhad kepada beberapa barangan tertentu, yang dijual dengan harga lebih murah.

“Dengan kerjasama pasar raya, mereka menyenaraikan.. mungkin ada barang-barang lain yang boleh dijual dengan harga yang lebih murah, maka sudut-sudut jualan Keluarga Malaysia diwujudkan di seluruh negara,” katanya semalam
selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Putrajaya.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pasukan khas itu telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengemukakan perincian bagi program berkenaan, termasuk pelan bagaimana ia bakal dilaksanakan.

Bukan cuma itu, lapor Bernama Annuar berkata mesyuarat juga memutuskan untuk memanfaatkan sepenuhnya peruntukan RM100 juta bagi menjayakan program berkenaan berbanding RM12 juta yang dibelanjakan setakat ini.

Sementara itu beliau berharap program jualan dengan pendekatan baharu yang akan dirasmikan semula, dapat dijalankan secara berterusan, dengan sekurang-kurangnya beberapa bulan, dan jualan diadakan setiap minggu di premis-premis terpilih.

“Ini untuk memberi ruang yang luas dan bagi pengguna, selain ada barang naik harga tetapi ada penjimatan dilakukan pada barang-barang, supaya jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi sebuah keluarga berada pada tahap terkawal,” katanya.

Beliau juga yakin banyak lagi produk makanan yang boleh dijual dengan harga lebih murah dalam program jualan berkenaan.

Program Jualan Keluarga Malaysia  yang dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Dis lepas adalah antara usaha kerajaan menawarkan barangan keperluan pada harga sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran, sekali gus dapat membantu meringankan bebanan kos sara hidup.

Annuar juga menjelaskan usaha Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa, dengan mengenal pasti kaedah serta peluang bukan hanya untuk mengawal harga barang tetapi juga langkah untuk menurunkannya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat