Bersatu, PN tak tergugat dengan Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Bersatu menolak tuduhan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal memenuhi aspirasi rakyat.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan tegas mengatakan tuduhan-tuduhan Zahid hanya merupakan ulang suara tohmahan yang sering disebut oleh pembangkang, terutama PKR dan DAP.

Jelas Wan Saiful, pelbagai bentuk bantuan telah dikeluarkan oleh kerajaan dalam rangka membela nasib rakyat dan membina semula ekonomi negara, dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500 bilion setakat ini.

“Tidak pernah ada pakej bantuan yang lebih tinggi daripada apa yang dikeluarkan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, baik dari segi menjaga kebajikan rakyat mahupun memberi suntikan kepada pembinaan semula ekonomi.

“Pelan Pemulihan Negara pula menggariskan dengan jelas strategi untuk membawa negara keluar daripada belenggu wabak COVID-19,” jelas beliau.

Justeru Wan Saiful menambah, vaksinasi menjadi senjata utama kita, dan pada penghujung Julai bekalan vaksin yang kita terima akan meningkat ke 16 juta dos. Pemberian vaksin harian juta telah meningkat kepada lebih 300,00 dos sehari.

Hal demikian katanya, dari segi menjaga kebajikan rakyat, menjaga kesihatan rakyat, dan membina semula ekonomi, kerajaan sedang menuju ke arah kejayaan.

“Tidak ada sebarang ugutan atau tekanan yang boleh menutup hakikat sebenar bahawa kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat.

“Bersatu berpandangan bahawa dalam situasi ini,Zahid sendiri yang sebenarnya telah gagal untuk menjaga perpaduan dan kebersamaan di kalangan parti-parti politik Melayu-Islam.

“…gagal memahami bahawa rakyat menuntut sebuah kerajaan yang prihatin dan mendahulukan keperluan rakyat, gagal memahami bahawa rakyat semakin muak dengan politik berlebihan, gagal memanfaatkan sebegitu ramai tokoh UMNO yang berada dalam kerajaan untuk kita semua bersama-sama memberi tumpuan berkhidmat untuk rakyat, dan gagal meletakkan agenda rakyat lebih tinggi daripada agenda peribadi,” kritik Wan Saiful.

Menurut beliau, pengumuman yang dibuat Zahid tidak memberi kesan kepada perjalanan kerajaan kerana dalam sistem demokrasi Westminster, kerajaan dibentuk oleh seorang Perdana Menteri berdasarkan sokongan terbanyak daripada ahli-ahli Parlimen.

“Bersatu berdiri teguh mendokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. BERSATU mengambil sikap untuk meneruskan tumpuan kepada menjaga kepentingan rakyat,”ujar beliau.

Menurut Wan Saiful Bersatu sentiasa berpegang teguh dengan prinsip-prinsip ketelusan, bebas rasuah, berintegriti dan menghormati kedaulatan undang-undang.

“Bersatu tidak sekali-kali akan bersetuju dengan sebarang ugutan atau tuntutan untuk mencampuri urusan mahkamah untuk apa-apa tujuan sekalipun.

“Bersatu berpandangan bahawa adalah lebih baik jika dalam hari, bulan dan tahun-tahun mendatang, seluruh masa dan tenaga kita ditumpukan kepada matlamat untuk menang bersama dalam menghadapi cabaran yang sedang melanda negara, bukan menimbulkan polemik politik yang tidak berkesudahan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat