Nazri Aziz cadang Muhyiddin kembali kepada UMNO dan diangkat jadi presiden

- Advertisement -

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu kembali menyertai UMNO, lapor Astro AWANI.

Nazri berkata, Muhyiddin perlu diangkat menjadi Presiden UMNO dan semua ahli parti perlu bersikap terbuka untuk menerimanya.

Jelas beliau, dengan kembalinya Muhyiddin ke pangkuan UMNO, banyak masalah akan dapat diselesaikan antaranya pembahagian kerusi antara UMNO dan PAS.

“Muhyiddin tidak tinggalkan kita (UMNO) tetapi dipecat dan sekiranya beliau kembali, sumbangannya amat besar kerana bawa balik jawatan perdana menteri kepada UMNO.

“Tidak berbangkit apa akan jadi kepada presiden UMNO kerana yang penting adalah parti, kita kena terima dengan tangan terbuka,” katanya kepada Astro AWANI.

Nazri mencadangkan sekiranya Muhyiddin kembali ke pangkuan UMNO, jawatan presiden parti juga diserahkan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.

Hujah beliau, secara tradisinya perdana menteri adalah merupakan presiden UMNO dan pemimpin dan ahli parti perlu menerima dengan tangan terbuka.

“Kita sebagai orang Melayu kena sentiasa sedia bermaaf-maafan demi perjuangan agama, bangsa dan tanahair.

“Kita kena bagi jawatan presiden UMNO sebab beliau kembali dengan bukan dengan tangan kosong tetapi dengan jawatan perdana menteri, kita kena terima, kena berkorban dan menerima dengan terbuka.

“Saya seorang anak Melayu, pada saya tidak ada pengorbanan yang tidak boleh kita lakukan demi agama dan bangsa kita,” katanya lagi.

Nazri mengulas pandangan sesetengah pihak yang berpendapat Perikatan Nasional (PN) akan berdepan masalah menyelesaikan isu pembahagian kerusi.

Jelas beliau, hanya dengan penyertaan Muhyiddin kedalam UMNO dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.

“Terserah sama ada beliau nak masuk seorang diri atau bawa semua wakil rakyat Bersatu. UMNO kena terima,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat