KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden mengerahkan anak muda Pas supaya membuat laporan polis di seluruh negara susulan kegagalan kerajaan dan DAP membuat permohonan maaf terhadap Sultan dan rakyat Selangor dalam tempoh 24 jam kerana tidak menghormati ketegasan Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu ladang ternakan babi.
Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata demikian, susulan kenyataan balas Majlis Eksekutif Kebangsaan Sosialis Muda DAP (DAPSY) yang menegaskan bahawa mereka tidak gentar dengan ugutan lapor polis oleh Pemuda Pas.
“Kami juga tidak akan berganjak untuk pertahankan titah Tuanku Sultan Selangor.
“Kalau mahu lihat kebangkitan anak muda pertahankan titah Tuanku, silakan.
“Orang yang derhaka kepada titah Tuanku tidak wajar dibiarkan terus berkuasa.
“Dengan ini, Pemuda Pas akan buat laporan polis di seluruh negara,” tegas Afnan.
Sebelum itu, Afnan mendesak kerajaan dan Adun DAP membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam kepada Sultan dan rakyat Selangor dan sekiranya gagal berbuat demikian, Pemuda Pas akan membuat laporan polis.



