ARMADA Perkemas Jentera Hadapi Kemungkinan PRU, PRN Awal

PETALING JAYA – ARMADA BERSATU mengambil keputusan untuk memperkukuh barisan kepimpinan dan jentera pilihan raya sebagai persediaan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri dalam masa terdekat.

Ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Biro Politik ARMADA yang dipengerusikan Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, Muhammad Hilman Idham, pada Jumaat.

Menurut kenyataan media ARMADA, mesyuarat yang berlangsung lebih sejam itu membincangkan perkembangan politik semasa di peringkat nasional dan negeri-negeri, termasuk hubungan antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang disifatkan semakin meruncing di beberapa negeri.

ARMADA menjangkakan PRN di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang berpotensi diadakan lebih awal, sekali gus mendorong sayap pemuda BERSATU itu melipatgandakan usaha membangunkan kepimpinan muda serta jentera pilihan raya yang lebih efektif dan kompeten.

Sebagai langkah awal, Biro Politik ARMADA bersetuju melakukan penyusunan semula Ketua-Ketua ARMADA negeri selain membuat tiga lantikan baharu Ahli Jawatankuasa ARMADA Pusat bagi mengisi kekosongan jawatan.

Dalam masa sama, beberapa pemimpin ARMADA turut dilantik menganggotai Biro Politik termasuk pelantikan Harris Idaham Rashid sebagai Penyelaras ARMADA Negeri Pahang dan Nor Zahid Rahim sebagai Penyelaras ARMADA Negeri Sabah.

Menurut kenyataan itu, barisan kepimpinan yang diperkemaskan diyakini mampu membantu usaha membangunkan jentera yang lebih kuat, tersusun dan efektif khususnya di kawasan tumpuan BERSATU.

Selain itu, ARMADA turut memutuskan supaya Markas Latihan ARMADA tidak lagi dilaksanakan secara berpusat, sebaliknya akan diadakan di negeri-negeri tumpuan bagi mempersiapkan jentera pilihan raya yang lebih terlatih.

Dalam perkembangan sama, ARMADA memaklumkan pihaknya sedang meneliti potensi untuk meletakkan calon muda BERSATU di 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Bagi tujuan itu, ARMADA akan melancarkan “Akademi Kepimpinan BERSATU” dengan kerjasama Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dan Institut Kajian Dasar (IKD) bagi melatih serta mempersiapkan calon muda menghadapi pilihan raya akan datang.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat