PUTRAJAYA,— Malaysia dan Australia memperkukuh kerjasama dalam memperkasakan peranan wanita dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), khususnya sektor bioteknologi yang dilihat sebagai antara industri pertumbuhan tinggi bagi membina ekosistem inovasi negara yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Komitmen itu dizahirkan sempena penganjuran sulung Majlis Makan Tengah Hari Wanita dalam Bioteknologi Malaysia–Australia yang berlangsung di Zenith Hotel, Putrajaya semalam, hasil kerjasama Australia’s Commonwealth Scientific and Industrial Research Organisation (CSIRO) dan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation).
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke berkata, kerajaan Australia berbangga dapat bekerjasama dengan Malaysia dalam sektor kesihatan menerusi platform serantau Partnerships for a Healthy Region.
Menurut beliau, Australia melaburkan lebih AUD8.7 juta bagi menyokong institusi seperti CSIRO untuk bekerjasama dengan rakan strategik di Malaysia dalam membangunkan keupayaan pembuatan vaksin dan pengkomersialannya, selain memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan penting.
“Sebahagian besar masalah kompleks dunia tidak dapat diselesaikan tanpa kerjasama seperti ini. Ia juga tidak boleh diselesaikan tanpa penglibatan semua pihak, termasuk wanita dan kanak-kanak perempuan, serta memperkukuh peranan mereka dalam ekosistem bioteknologi,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan wanita kini mewakili hampir 50 peratus daripada jumlah penyelidik di Malaysia, jauh mengatasi purata Asia Pasifik sebanyak 23.9 peratus.
Bagaimanapun, usaha lebih menyeluruh masih diperlukan bagi meningkatkan peluang kemajuan kepimpinan, pembangunan keusahawanan serta pengekalan kerjaya wanita dalam sektor ini.
Perkara itu turut ditekankan oleh Setiausaha Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi S&T MOSTI, Puan Aidawati Misdar dalam ucaptama beliau semasa majlis berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif memperkasakan wanita dalam tenaga kerja STI termasuk program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula, platform bimbingan serta pengaturan kerja fleksibel adalah selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030 serta Dasar Bioteknologi Negara 2.0.
Majlis bertemakan “Inspire, Influence, Involve” itu turut mengetengahkan peranan dua program utama iaitu ON Accelerate oleh CSIRO dan Bio-based Accelerator (BBA) oleh Bioeconomy Corporation sebagai platform penting dalam pengkomersialan penyelidikan dan pertumbuhan perusahaan bioteknologi.
Setakat ini, sebanyak 47 syarikat diterajui wanita di bawah program BBA telah menerima sokongan fasilitasi, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekosistem bioinovasi negara.
Program tersebut turut menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri daripada wakil kanan kerajaan, institusi penyelidikan dan pemain industri.
Majlis berakhir dengan komitmen bersama Malaysia dan Australia untuk memperdalam kerjasama dalam bidang bioteknologi, khususnya dalam membantu inovasi yang diterajui wanita berkembang ke peringkat global dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan. – BERNAMA/SUARATV



