KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan mengemukakan tujuh cadangan untuk difikirkan Kerajaan Madani dalam menghadapi krisis tenaga global yang menghimpit Malaysia dan dunia ketika ini.
Antara idea yang dicadangkan Ahli Parlimen Pontian itu ialah, memandangkan Petronas merupakan 100 peratus milik kerajaan, justeru Ahmad memberikan idea supaya syarikat petroleum dan gas itu menambah dividen kepada belanjawan negara.
Katanya, pada 2025 Petronas memberikan dividen RM32 bilion, manakala pada 2026 hanya RM20 bilion.
Ahmad berkata, dana tambahan daripada Petronas itu boleh digunakan untuk meneruskan subsidi pelbagai barangan kepada rakyat Malaysia susulan kesan perang Iran, khususnya terhadap harga bahan api.
“Dana tambahan khas itu kembalikan untuk subsidi rakyat,” saran beliau.
Ahmad juga mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif kepada syarikat atau agensi atau GLCs kepada pekerja / staf yang berusaha untuk mengurangkan guna minyak seperti kaedah car-pool, naik pengangkutan awam, basikal, motorsikal dan lain-lain.
“Selain itu, Ppngangkutan awam seperti LRT, MRT, keretapi, monorel, ETS, ERL memberi diskaun khas pada waktu ini agar lebih ramai yang menggunakan.
“Pasar raya boleh mengadakan pelbagai jualan murah khas “membantu rakyat” dengan mendapatkan barang secara rantaian pukal / sistematik dan disokong dengan kehadiran ramai pembeli,”syor Ahmad lagi.
Perkara lain yang dicadangkan ialah memastikan kegiatan sorok barang, menaikkan harga sesuka hati, ketirisan barang bersubsidi, penyeludupan dibanteras dengan hebahan media kepada pesalah dan kompaun yang maksima.
“Beri VOP (perubahan harga) atau EOT (lanjutan masa) kepada kontraktor atas sebab kenaikan bahan binaan untuk memastikan tiada pekerja tempatan yang dibuang dan pembinaan dapat diteruskan.
“Gunakan pembelian terus tanpa orang tengah daripada nelayan, petani, penternak, pekebun untuk makanan seperti ikan, sayur, ayam, beras, daging dan lain-lain agar harga murah diperolehi,” kata bekas Timbalan Menteri Kewangan itu lagi.



