KDN Lancar Sistem Imigresen Bersepadu Nasional Ganti myIMMs – Hamzah

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini melancarkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) yang telah beroperasi lebih 20 tahun.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan yang khusus untuk membangunkan NIISe agar sistem keimigresenan negara kekal relevan.

Beliau berkata ini termasuklah aspek sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta kedaulatan dan keselamatan negara.

“KDN sedar tahap keselamatan merupakan agenda utama kerajaan dan kementerian bertanggungjawab bagi memastikan semua rakyat dan penduduk merasakan benar-benar selamat untuk tinggal di dalam negara,” katanya semasa berucap melancarkan majlis berkenaan di sini hari ini.

Hamzah berkata perkara utama yang harus dipertingkatkan adalah kawalan di pintu-pintu masuk negara bagi memastikan setiap kemasukan telah dipastikan lulus tapisan dan benar-benar layak untuk memasuki negara ini.

“NIISe dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada 2024 dan saya yakin dengan pelaksanaan sistem baharu ini, perkhidmatan keimigresenan akan terus diperkasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara dapat dipelihara,” katanya.

Beliau berkata sistem imigresen sedia ada iaitu myIMMs perlu digantikan dengan satu sistem imigresen yang lebih canggih, bersepadu dan holistik dilengkapi dengan teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IOT) dan Analisis Data Raya (BDA).

Hamzah berkata syarikat IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd akan membangunkan sistem NIISe ini bersama KDN dan badan-badan bebas yang lain dalam tempoh 54 bulan akan datang.

“Sistem NIISe ini akan memodenkan perkhidmatan Jabatan Imigresen melalui aplikasi dengan ciri-ciri yang canggih dan terkini.

“NIISe juga akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti pengesahan pelbagai faktor, yang memerlukan kombinasi kata laluan, ID dan biometrik pengguna sebelum kakitangan jabatan atau kementerian dibenarkan mengakses sistem,” katanya.

Hamzah berkata sebarang aktiviti dalam talian yang tidak teratur dan mencurigakan akan dapat dipantau secara menyeluruh melalui National Immigration Command Centre dan tindakan pencegahan dapat diambil lebih cepat dan berkesan berbanding sistem sedia ada.

Beliau berkata selain itu, NIISe juga dibangunkan dengan keupayaan untuk membuat saringan awal kepada pelawat yang ingin masuk sebelum tiba ke Malaysia dan kemudahan ini amat penting bagi memastikan negara dilindungi daripada ancaman keselamatan yang kian mencabar dan kompleks.

Hamzah berkata penggunaan ‘Risk Assesment Engine’ yang mengaplikasikan teknologi AI dan BDA secara bersepadu bersama data-data daripada agensi keselamatan yang lain merupakan ciri terbaharu dalam menyediakan mekanisme pemantauan, pengesanan risiko dan tindakan pencegahan secara proaktif.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. – Bernama

Topik Hangat

50 Buffet Ramadhan 2021 Kuala Lumpur Selangor

Bulan puasa kini menjengah, namun sudahkah anda jumpa destinasi buffet untuk sesi iftar nanti? Atau anda masih tercari-cari destinasi buffet yang mana yang patut anda...

Hakim kelihatan ‘terdorong’ putuskan Najib bersalah – Peguam

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, hakim dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak berkaitan dana SRC International Sdn Bhd, bagaikan 'terdorong' untuk memutuskan...

UMNO 3.0 Sedia Singkir Zahid, Najib Termasuk Mat Hasan Ogos Ini : Laporan

KUALA LUMPUR - Spekulasi tersebar luas berkait rancangan yang sedang berjalan untuk menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya Datuk...

Berita Berkaitan

UMNO, PAS, Bersatu, PKR & Amanah Bentuk Kesatuan Baharu Depani PRU-15?

KUALA LUMPUR - Gelombang politik baharu tanah air bakal berubah lagi, apabila hari ini Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Aktar Hussin memulakan...

438,220 Individu Telah Terima Kedua-Dua Dos Vaksin – Dr Adham

KUALA LUMPUR - Seramai 438,220 individu telah menerima kedua-dua dos vaksin mereka di bawah fasa satu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam, kata Menteri...

KPDNHEP Keluar Notis Susulan Kenaikan Harga Ayam

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa di beberapa negeri kini mula mengambil tindakan tegas susulan kenaikan mendadak harga ayam di pasaran, yang mula dikesan sejak...