Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dijangka menerima peruntukan untuk kawasan Parlimennya selepas kerajaan bersedia mempertimbangkan permohonannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Syed Saddiq telah bersetuju secara prinsip dengan beberapa syarat yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.
Menurutnya, pihak kerajaan kini berada di fasa akhir menyiapkan draf perjanjian dengan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
“Insya-Allah selesai untuk Syed Saddiq (bakal terima peruntukan) kerana hanya beliau saja yang memberi maklum balas dengan berjumpa dan mengemukakan surat rasmi,” katanya selepas Majlis Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Kompleks Sukan Satok, hari ini.
Fadillah turut menekankan kepentingan penubuhan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang secara lebih menyeluruh.
Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menolak draf memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung isu peruntukan, dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan.
Pembangkang juga mendakwa bahawa cadangan MoU tersebut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama, selain berpotensi disalah guna serta mengongkong kebebasan.
Pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Syed Saddiq mengaku terpaksa menjadi model baju raya sebuah jenama fesyen demi mendapatkan sumbangan untuk pengundi di kawasannya.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan itu dibuat kerana usahanya mendapatkan peruntukan daripada kerajaan masih belum berjaya.
Sementara itu, Fadillah berkata kerajaan masih menunggu maklum balas daripada pihak pembangkang bagi menyediakan surat cadangan berkaitan penubuhan jawatankuasa khas tersebut.
“Tetapi setakat ini pihak pembangkang masih belum memberi maklum balas kecuali Syed Saddiq,” katanya.